AM

SELANGOR TAMATKAN TAJAAN IJAZAH PERTAMA KE TIMUR TENGAH MULAI TAHUN INI

10/05/2025 11:13 AM

SHAH ALAM, 10 Mei (Bernama) -- Kerajaan Selangor dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak lagi meneruskan penajaan pengajian bagi pelajar peringkat ijazah pertama ke Timur Tengah mulai tahun ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook JAIS hari ini berkata bagaimanapun penajaan bagi pengajian di peringkat sarjana dan doktor falsafah masih diteruskan.

Beliau berkata penajaan bagi peringkat ijazah pertama akan diteruskan di Universiti Islam Selangor (UIS) atau universiti tempatan.

“Ketetapan ini dibuat bagi mengurangkan risiko pelajar terdedah kepada pengaruh dan anasir yang boleh mengganggu pemikiran serta jati diri pelajar jurusan Pengajian Islam Selangor di Timur Tengah.

“Namun begitu, bagi pelajar persendirian yang tidak mendapat tempat di dalam negeri atau memilih untuk melanjutkan pengajian Islam di Timur Tengah, mereka masih dibenarkan menyambung pengajian peringkat ijazah pertama di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan pengurusan sepenuhnya dikendalikan oleh JAIS,” katanya.

Menurut Mohd Shahzihan, langkah tersebut diambil bagi memastikan pelajar benar-benar bersedia dari segi jati diri, penguasaan bahasa Arab serta memiliki pengetahuan dan keupayaan penting lain dalam menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran, suasana dan cabaran di Timur Tengah.

Beliau berkata penajaan ke UIS di peringkat ijazah pertama turut dilaksanakan sebagai usaha memperkukuh ekosistem pendidikan agama JAIS yang telah lama wujud di peringkat rendah dan menengah.

“UIS dipilih selaras dengan kedudukannya sebagai institusi pengajian tinggi di bawah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang terbukti mampu melahirkan pelajar berkualiti dari segi ilmu dan akhlak serta memenuhi keperluan pasaran pekerjaan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata AIS dan kerajaan Selangor mengalu-alukan permohonan daripada pelajar yang telah menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Pengajian Islam untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana atau doktor falsafah di Mesir, Jordan dan Maghribi dengan tajaan daripada LZS dan kerajaan negeri.

Katanya, tawaran bagi penajaan pengajian peringkat ijazah pertama di UIS atau universiti tempatan serta penajaan ke peringkat sarjana dan doktor falsafah di Timur Tengah akan diiklankan pada Jun 2025.

“Sesi temu duga akan diadakan bagi menilai kelayakan pelajar yang memohon,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan