AM

DEKLARASI KL GARIS VISI ASEAN DALAM TADBIR URUS, MASA DEPAN DIGITAL - PM ANWAR

21/05/2025 11:33 PM

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Deklarasi Kuala Lumpur yang akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun 2025, bakal menetapkan hala tuju masa hadapan blok serantau itu dalam aspek tadbir urus, transformasi digital dan kesiapsiagaan strategik, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menyifatkan deklarasi itu sebagai kemuncak kepada kerjasama erat antara pemimpin politik, cendekiawan dan pegawai kanan kerajaan, Anwar berkata ia mencerminkan komitmen bersama ASEAN untuk bergerak melangkaui retorik kepada tindakan sebenar dalam isu-isu penting berorientasikan masa hadapan.

“Kami merangkumi tinjauan menyeluruh mengenai apa yang perlu dilihat atau dijangkakan. Tadbir urus, pembangunan digital dan masa depan – inilah bidang yang akan kita tangani secara menyeluruh dalam Deklarasi KL,” kata beliau di sini hari ini.

Anwar bekata demikian pada sesi taklimat berkaitan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 bersama ketua-ketua pengarang media tempatan dan antarabangsa di Kompleks Seri Perdana, di sini malam ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj dan Editor Eksekutif Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama Saraswathi Muniappan.

Anwar menegaskan bahawa keamanan dan keselamatan, kekal sebagai prasyarat penting untuk kemajuan serantau, namun menekankan bahawa deklarasi tersebut turut merangkumi fokus strategik untuk fasa pembangunan ASEAN yang seterusnya.

“Sudah tentu, keamanan dan keselamatan adalah fundamental. Tetapi kini, kumpulan subserantau dan serantau juga mahukan lebih daripada sekadar kerjasama dan persefahaman - mereka mahukan spesifik. Dan Deklarasi KL menangani perkara itu,” kata beliau.

Anwar berkata dokumen itu telah dibincangkan dan diperhalusi dalam sesi pemimpin ASEAN baru-baru ini dan telah dicapai kata sepakat untuk meneruskan pelaksanaannya.

“Terdapat konsensus yang kuat. Kami teliti draf tersebut dan dari situ kami bergerak ke hadapan. Sebahagian besar kandungan telahpun diketahui negara anggota - yang penting sekarang ialah komitmen tegas untuk melaksanakannya,” katanya.

Hari ini, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan bahawa Deklarasi Kuala Lumpur akan dilancarkan secara rasmi semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Malaysia.

Fahmi berkata deklarasi itu merangkumi beberapa dokumen utama yang mencerminkan aspirasi strategik ASEAN di bawah kepengerusian Malaysia. Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Luar bersama Sekretariat ASEAN akan memastikan semua wakil media diberikan taklimat berkenaan kandungan deklarasi tersebut sebaik ia dilancarkan.

Malaysia kini memegang jawatan Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 dengan tema memperkukuh daya tahan komuniti, kelestarian ekonomi dan kesiapsiagaan masa depan. Sebagai pengerusi dan tuan rumah ASEAN 2025, Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 26 hingga 27 Mei.

Bersempena sidang kemuncak itu, dua mesyuarat peringkat tinggi penting turut akan diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, yang menjadi platform penting bagi memperluas kerjasama serantau dan antara serantau.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan