SUKAN

SULTAN ABDULLAH SANTUNI MAJLIS PERTEMUAN LEGENDA SUKAN NEGARA

18/05/2025 07:10 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mei (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis Sports Flame yang menghimpunkan bekas atlet kebangsaan bagi meraikan legasi sukan tanah air di sini hari ini.

Majlis santai dan mesra yang berlangsung di sebuah hotel di sini turut memberi penghormatan kepada 160 ikon sukan negara yang pernah mewakili Malaysia dari era 1960-an hingga 1980-an.

Keberangkatan baginda menyerikan majlis itu apabila berkenan beramah mesra bersama tetamu yang hadir, selain meluangkan masa bergambar bersama beberapa bekas atlet kebangsaan pada sesi minum petang.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran mengejut legenda kelab bola sepak Manchester United, Ryan Giggs, yang menyerahkan jersi kelab bertandatangan kepada Sultan Abdullah sebagai cenderahati.

Antara bekas atlet yang turut hadir ialah Datuk Santokh Singh (bola sepak), Datuk James Selvaraj (badminton), Noraseela Khalid (olahraga) dan Kevin Nunis (hoki).

Sports Flame mula dianjurkan pada tahun 2011 hasil inisiatif empat bekas wartawan sukan negara iaitu Datuk Lazarus Rokk, George Das, Datuk Fauzi Omar dan mendiang R. Velu.

Penganjuran acara edisi tahun ini direalisasikan hasil komitmen dan sokongan ShekhinahPR, agensi perhubungan awam dan penjenamaan sukan terkemuka negara.

Majlis turut mengenang jasa mendiang R.Velu sebagai antara pengasas Sports Flame dan figura yang disegani dalam dunia kewartawanan sukan tanah air.

Sultan Abdullah turut berkenan menyampaikan plak penghargaan kepada wakil keluarga mendiang sebagai tanda mengenang jasa beliau.

Pasukan hoki kebangsaan 1975 turut diberikan penghormatan atas kejayaan bersejarah mereka menamatkan saingan di tempat keempat pada Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan