Oleh Noornasrin Salsabila Othman
KOTA BHARU, 18 Mei (Bernama) -- Bagi Mohd Izani Mohd Noor, 41, serunai Kelantan bukan sekadar alat muzik tradisional sebaliknya menjadi lambang warisan budaya yang perlu terus dipelihara agar tidak hilang ditelan arus zaman.
Biarpun proses pembuatannya rumit dan memakan masa hingga tiga hari, semangatnya tidak pernah luntur. Setiap ukiran pada kayu dan lubang yang ditebuk, dilakukannya dengan penuh ketelitiandan kesabaran, demi memastikan seni pembuatan serunai terus terpelihara.
“Minat saya bermula sejak di bangku sekolah. Saya sering ke rumah tok guru, Allahyarham Tok Wan Nasir untuk belajar tiupan serunai.
“Daripada situlah saya mula mengenali proses pembuatannya secara tidak langsung,” kata pembuat serunai tradisional itu kepada Bernama baru-baru ini di Kampung Pulau Hilir, Kubang Kerian, di sini.
Mohd Izani mula membuat serunai pada 2013 yang pada kertika itu sekadar mengisi masa lapang, tetapi kini mahir dalam menghasilkan serunai untuk pelanggan dari seluruh negara
Proses pembuatan serunai bermula dengan pemilihan kayu yang sesuai, antaranya kayu merbau, sira tanduk, rengas dan leban bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Kayu itu akan dipotong mengikut saiz tertentu sebelum dilarik dan dibuang duri. Tujuh lubang ditebuk di bahagian atas dan satu di bawah untuk menghasilkan pelbagai nada tiupan.
“Bahagian bawah perlu dibuat daripada kayu yang lebih lembut kerana akan memberikan bunyi lebih lunak dan merdu. Di bahagian atas pula, pipit serunai diperbuat daripada tembaga, diselit dengan daun tar sebagai alat tiupan,” katanya.
Pipit serunai perlu dibentuk dengan cermat kerana sebarang ketidaksempurnaan akan menjejaskan kualiti bunyi dan daun tar juga tidak boleh dipilih sebarangan hanya daun yang licin dan berkualiti tinggi sesuai digunakan.
“Daun tar direbus bersama santan dan hampas kelapa selama sejam, kemudian dikeringkan selama sehari. Hasilnya, daun itu menjadi sedikit berminyak, penting untuk mengelakkan air liur melekat pada pipit dan memastikan ketahanan hingga tiga bulan,” katanya.
Serunai buatan Mohd Izani hadir dalam dua saiz iaitu serunai ibu (19–21 inci) dan serunai anak (13–15 inci). Kedua-duanya mempunyai tujuh lubang pemetik dan satu lubang jerit di bawah, yang menghasilkan nada berbeza bergantung kepada teknik tiupan pemain.
“Serunai ibu menghasilkan bunyi yang lebih kasar dan digunakan dalam majlis seperti silat, wayang kulit dan main puteri. Antara lagu yang dimainkan ialah Tabuh, Hulubalang dan Serama Berjalan,” katanya.
Bagi serunai anak pula, bunyinya lebih nyaring dan halus, sesuai untuk persembahan yang bernada syahdu seperti Wayang Kulit dan Makyong. Lagu-lagu seperti Berkabar Belas, Pakyong Muda dan Sedayung Makyong sering dimainkan dengan serunai ini.
“Setiap serunai mengambil masa kira-kira tiga hari untuk disiapkan, termasuk ujian suara. Harganya pula bermula dari RM280 hingga RM700, bergantung kepada jenis kayu dan corak ukiran.
“Selagi ada yang mahu mendengar bunyi serunai, saya akan terus hasilkan. Ini cara saya menjaga warisan, satu tiupan pada satu masa,” katanya penuh azam.
-- BERNAMA