KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan memperkenalkan Piala Tunku Azizah, iaitu Pertandingan Tenun Pahang Diraja bagi mencungkil bakat dan memberi pengiktirafan kepada artisan terlibat melalui karya berkualiti tinggi.
Tunku Azizah bertitah pertandingan julung kali diadakan menerusi anjuran bersama Yayasan Tenun Pahang Diraja dan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia itu akan mengetengahkan kategori kain samping dan sarung bercorak beragi iaitu berkotak, yang merupakan reka bentuk tradisional.
“Namun jika mereka (peserta) ingin memasukkan elemen moden atau menggunakan teknik-teknik tertentu seperti teknik ikat atau colek, juga dibenarkan, tetapi yang utama tetap corak beragi.
“Penyertaan terbuka kepada semua warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas, sama ada individu atau berkumpulan, tidak kira banduan, tenaga pengajar di penjara, pengusaha atau pelajar Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja,” titah Tunku Azizah pada sidang media pertandingan itu di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan) Datuk Ali Syahbana Sabaruddin dan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk ‘Ainu Sham Ramli.
Tunku Azizah bertitah idea untuk menganjurkan pertandingan itu tercetus daripada pertandingan seni reka batik iaitu Piala Seri Endon yang diperkenalkan Allahyarham Tun Endon Mahmood iaitu isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Saya sangat meminati Piala Seri Endon yang banyak memfokuskan kepada produk batik tempatan. Setiap tahun, saya menghadiri pertandingan itu dan menyimpan impian untuk menganjurkan acara dengan konsep serupa.
“Dengan penganjuran acara seperti ini, kita dapat menggalakkan industri tempatan menghasilkan produk lebih baik dan berkualiti dengan reka bentuk baharu, namun tetap mengekalkan elemen tradisional,” titah baginda.
Tunku Azizah bertitah penyertaan dibuka pada 27 Mac dan berakhir 30 April, dengan peserta perlu menyiapkan dan menghantar produk mereka pada 18 Ogos, manakala majlis penyampaian hadiah dijadual berlangsung pada 1 Sept.
Setakat ini sebanyak 100 penyertaan diterima.
"Setiap kain dihantar akan dipamerkan pada Temasya Warisan Pahang di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah, Pekan, Pahang selama seminggu bermula 1 Sept," titah Tunku Azizah.
Pertandingan itu menawarkan hadiah RM30,000 untuk pemenang tempat pertama, RM20,000 dan RM10,000 bagi kedudukan kedua serta ketiga, manakala lima pemenang sagu hati masing-masing menerima RM3,000, selain piala dan sijil.
-- BERNAMA