KUALA LUMPUR, 16 Mei (Bernama) -- Beberapa Menteri Kabinet menzahirkan ucapan Selamat Hari Guru yang disambut hari ini kepada seluruh warga pendidik di negara ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dalam hantaran menerusi Facebook berkata guru bukan sekadar mendidik, tetapi juga membentuk hati, mencorak akhlak dan membuka pintu harapan buat setiap insan.
Beliau berkata setiap nasihat, teguran, senyuman dan semangat daripada guru menjadi bekal berharga dalam perjalanan hidup.
“Jasa mereka tidak terhitung dan pengaruh mereka tidak terpadam oleh waktu. Buat guru-guru yang masih setia mendidik, dan juga yang telah pergi meninggalkan dunia – doa kami sentiasa mengiringi.
“Moga Allah membalas segala kebaikan dan mengangkat darjat kalian di dunia dan akhirat. Terima kasih, cikgu. Jasamu abadi,” katanya.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata guru adalah jiwa kepada reformasi dalam mendidik bukan sekadar mengajar, tetapi juga membentuk insan yang berprinsip, berakal budi dan bersedia menghadapi cabaran zaman.
“Setiap perubahan besar dalam dunia pendidikan, ada tangan seorang guru yang memulakannya. Anda (guru) bukan sekadar pendidik, anda adalah pemacu harapan dan pembina peradaban,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata beliau percaya pendidikan bukan sekadar proses pemindahan ilmu, tetapi jalan untuk membebaskan manusia daripada belenggu kemiskinan, kejahilan dan ketidakadilan.
“Jasa guru bukan hanya dalam bilik darjah, tetapi ia meresap ke dasar masyarakat dan membentuk masa depan negara,” katanya.
Beliau berkata dalam setiap kejayaan anak bangsa, ada doa dan titik peluh seorang guru yang tidak pernah meminta balasan, hanya inginkan perubahan.
“Kepada semua guru, terima kasih kerana terus setia mendidik dalam seribu satu cabaran. Semoga segala pengorbanan kalian terus diberkati dan dihargai. Kalian tetap di hati kami, sebagai pewira yang tidak didendang,” katanya.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching pula berkata dalam zaman digital, peranan guru semakin besar apabila bukan saja mengajar, tetapi juga perlu jadi pembimbing dalam dunia teknologi.
“Terima kasih sebab sentiasa sabar, rajin dan kreatif dalam mendidik anak-anak kita, walaupun cabaran semakin bertambah. Kini para pelajar bukan hanya belajar dalam kelas, tapi juga melalui skrin, aplikasi dan platform digital.
“Para guru hari ini juga perlu beradaptasi dengan banyak benda baru dan menggunakan teknologi dengan bijak demi pastikan ilmu sampai dengan cara yang lebih seronok dan berkesan. Cikgu adalah insan luar biasa yang membentuk masa depan negara. Terus menyinar dan jadi inspirasi dalam dunia pendidikan digital,” katanya dalam hantaran menerusi media sosial sama.
Turut mengucapkan Selamat Hari Guru ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Sambutan Hari Guru peringkat Kebangsaan 2025 diadakan di Kuching, Sarawak.
-- BERNAMA