Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail
MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meneruskan agenda lawatan rasmi hari keduanya ke Rusia dengan menghadiri mesyuarat meja bulat bersama para pemimpin industri Persekutuan Rusia.
Mesyuarat yang bermula 9 pagi itu disertai sebanyak 24 syarikat utama di Rusia dan dua Majlis Perniagaan yang diwakili pemimpin industri bagi membincangkan kerjasama strategik dalam meningkatkan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia.
Semasa mesyuarat tersebut, para pemimpin industri Rusia menyatakan hasrat untuk meneroka kerjasama baharu dalam pelbagai bidang meliputi pembuatan makanan, pertanian, teknologi, perkhidmatan logistik, pembangunan hartanah dan perkhidmatan kewangan.
Pertemuan tersebut merangkumi sektor industri melibatkan produk utama seperti produk berasaskan sawit, pembuatan perabot, industri kimia dan peruncitan.
Antara syarikat yang terlibat ialah Oil Partners, Sportmaster dan Russian Direct Investment Fund.
Mesyuarat tersebut turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Pada 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 billion.
Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan yang diproses.
-- BERNAMA