AM

PM ANWAR DIBERIKAN SAMBUTAN RASMI DI KREMLIN

14/05/2025 07:41 PM

Daripada Sharifah Hunaini Syed Ismail

MOSCOW, 14 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diberikan sambutan rasmi di Kremlin yang menempatkan kediaman rasmi Presiden Vladimir Putin sekali gus mencerminkan detik penting dalam usaha memperkukuh hubungan diplomatik antara Malaysia dan Rusia.

Sejurus ketibaan beliau pada 1.48 tengah hari waktu tempatan (6.48 petang waktu Malaysia), Anwar yang sedang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Rusia, telah disambut oleh Putin di Bilik Hijau. 

Kedua-dua pemimpin dijadual mengadakan mesyuarat tertutup sebelum Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menghadiri majlis makan tengah hari dan mengadakan mesyuarat bersama delegasi kedua-dua negara.

Anwar dan Putin dijadual mengadakan sidang media bersama selepas itu.

Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Rusia, yang bermula di Moscow pada 13 Mei lepas, akan berakhir pada 16 Mei ini.

Beliau mengetuai delegasi negara yang terdiri daripada Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Li Kang, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai.

Delegasi Putin pula terdiri daripada Menteri Luar Sergey Lavrov, Timbalan Pengerusi Pertama Kerajaan Rusia Denis Manturov, Timbalan Ketua Turus Pejabat Eksekutif Presiden Maxim Oreshkin dan Timbalan Ketua Turus Pentadbiran Kepresidenan merangkap Setiausaha Akhbar Dmitry Peshkov.

Acara itu mendapat liputan lebih 80 pengamal media tempatan dari pelbagai agensi.

Terdahulu, Anwar mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya, Mikhail Mishustin.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan