AM

PERTEMUAN DUA HALA PM ANWAR, PUTIN DISIARKAN SECARA LANGSUNG MENERUSI RTM HARI INI - FAHMI

14/05/2025 05:26 PM

PUTRAJAYA, 14 Mei (Bernama) -- Pertemuan dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Rusia Vladimir Putin hari ini akan disiarkan secara langsung menerusi RTM, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata pertemuan dua hala itu akan mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.

“Dijangka sama ada sebelah petang atau awal malam, ia akan disiarkan secara langsung nanti oleh pihak RTM. 

“Ini merupakan detik yang bersejarah dan sudah pasti akan memberi peluang untuk hubungan yang lebih erat termasuk hubungan dagang antara kedua-dua negara,” katanya pada sidang media mingguan Kabinet di Kementerian Komunikasi hari ini.

Pertemuan dua hala antara kedua-dua pemimpin itu di Kremlin, Moscow dijadual bermula 1 tengah hari (6 petang waktu Malaysia).

Kedua-dua pemimpin itu dijangka membincangkan pelbagai isu dua hala dan potensi kerjasama Malaysia-Rusia dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pertanian dan agrokomoditi, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga.

Dalam pertemuan yang merupakan agenda utama lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri ke Rusia itu, kedua-dua pemimpin juga dijangka saling bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, yang menjadi kepentingan bersama.

Anwar juga dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishutin.

Anwar yang mengetuai delegasi 70 anggota dari Malaysia, tiba di Moscow semalam untuk lawatan rasmi empat hari ke Rusia atas jemputan Putin.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan