AM

AHMAD ZAHID PENGERUSIKAN MESYUARAT JEMAAH MENTERI, WAKILI PM ANWAR

14/05/2025 02:46 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya, mewakili Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini dalam lawatan rasmi empat hari ke Rusia.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat berjalan lancar dengan tumpuan diberikan kepada perkara yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara secara keseluruhan.

“Setiap perbincangan dan keputusan diambil secara kolektif agar dapat membawa kebaikan yang berpanjangan untuk negara kita.

“Insya-Allah, segala amanah yang digalas akan terus saya pikul dengan tekad dan iltizam demi Malaysia yang lebih makmur dan sejahtera,” katanya menerusi  hantaran di Facebook.

Semalam Anwar tiba di Moscow untuk lawatan rasmi hingga 16 Mei, atas undangan Presiden Rusia Vladimir Putin dan diberi Kawalan Kehormat sebaik mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Vnukovo-2, Moscow pada 6.26 petang waktu tempatan (11.26 malam waktu Malaysia).

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan