AM

BEKAS PESAKIT KANSER MATA SYUKUR DAPAT TUNAI HAJI BUAT KALI PERTAMA

14/05/2025 10:10 AM

Daripada Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 14 Mei (Bernama) -- Biarpun kehilangan sebelah mata akibat penyakit kanser ketika berusia dua tahun, seorang pemuda dari Kuala Terengganu tetap cekal dan bersemangat menunaikan ibadah haji buat kali pertama dan menganggap kekurangan itu bukan alasan untuk menyempurnakan rukun Islam kelima.

Aminuddin Hassan, 36, dari Kampung Kubang Lembek, Manir, yang merupakan bekas pesakit retinoblastoma (sejenis kanser mata) berkata dia amat bersyukur apabila dipilih menjadi tetamu Allah dan tidak menyangka impian sejak kecil untuk menunaikan haji menjadi kenyataan.

“Alhamdulillah, saya sangat gembira dan bersyukur kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci untuk menunaikan umrah dan haji. Ia pengalaman yang sangat besar maknanya buat saya,” katanya ketika ditemui di Bangunan Penginapan jemaah haji di Hotel Land Premium, di sini baru-baru ini.

Aminuddin yang menjalani pembedahan membuang mata kanan ketika berusia dua tahun di Hospital Kuala Lumpur dan turut mempunyai parut kekal di bahagian kepala berkata dia tetap berasa reda walaupun diuji dengan kecacatan fizikal.

"Walaupun saya cacat fizikal, saya terima qada dan qadar Allah, saya terima seadanya, sebab kita percaya kita ini bersyahadah atas dua kalimah syahadah. Kita akan dipanggil Allah di mana-mana dan pada bila-bila masa apabila tiba waktunya kita akan dijemput ajal," katanya.

Namun, Pembantu Operasi di Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) yang telah pulih sepenuhnya itu tidak menjadikan kekurangan fizikalnya sebagai alasan untuk tidak beribadah dengan sepenuh hati di Baitullah.

"Kekurangan ini tidak akan menyukarkan saya beribadah di Tanah Suci sebab ramai saya tengok di sisi orang berusia yang sakit kaki pun tetap nak beribadah. Jadi, apatah lagi saya ini orang muda, malu juga pada mereka yang lebih berumur.

"Ketika di Madinah, selepas solat lima waktu, ada solat jenazah, ada ustaz beritahu ganjaran pahala solat jenazah itu seperti sebesar Bukit Uhud, jadi saya kena tingkatkan lagi amalan dan pahala saya," katanya.

Lebih manis, Aminuddin yang merupakan pemegang kad Jabatan Kebajikan Masyarakat itu tidak berseorangan ke Tanah Suci apabila kakak sulungnya, Atikah Hassan, 40, turut menerima panggilan sama manakala adiknya, Ahmad Muzakkir, 32, sebagai pengiringnya.

Sementara itu, Atikah tidak dapat menahan rasa sebak apabila terkenangkan pengorbanan dan usaha bapanya, Hassan Wahid, 66, yang juga pesara RISDA menabung untuk mereka tujuh beradik dalam akaun Tabung Haji.

“Selepas bapa menunaikan haji pada 1995, dia mula menyimpan untuk kami adik-beradik di Tabung Haji. Walaupun hanya potong gaji antara RM10 hingga RM20 sebulan ketika itu, dia tetap komited memastikan kami ada simpanan sendiri dan apabila kami dewasa, kami adik-beradik menabung sendiri,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan