BERITA TERGEMPAR | Kemalangan lori FRU : Angka kematian meningkat sembilan orang - Polis | |
Oleh Nurliyana Farhah Ruslan
MAKKAH, 13 Mei (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) memeterai satu perjanjian penting bersama The Kingdom of Saudi Arabia Project for Utilisation of Hady and Adahi (ADAHI) bagi pelaksanaan ibadah dam dan korban jemaah haji Malaysia untuk musim haji 1446H/2025M.
Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata ADAHI, merupakan satu-satunya organisasi diiktiraf Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, untuk menguruskan penyembelihan korban dan dam secara sistematik serta sah menurut syarak.
“Ini kali pertama TH melaksanakan kedua-dua ibadah dam dan korban melalui satu saluran tunggal. Sebelum ini, ia dilakukan secara berasingan dan melalui proses tender,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara TH dan ADAHI di Ibu Pejabat ADAHI di sini, pada Isnin.
Terdahulu, Mohd Hisham menandatangani MoU tersebut bersama Penyelaras Am ADAHI Saad Abdul Rahman Al-Wabil. Turut hadir Timbalan Ketua Rombongan Haji Kebajikan TH Mohamed Heikal Mohamed Yusuff dan Pengarah Operasi Kewangan TH Shamsul Bahar Shamsudin.
Mohd Hisham berkata ADAHI merupakan sebuah entiti rasmi Kerajaan Arab Saudi di bawah Suruhanjaya Diraja bagi Kota Mekah dan Tapak Suci dipilih berdasarkan kelengkapan logistik dan fasiliti moden yang dimiliki syarikat itu.
“ADAHI mengendalikan lapan kompleks penyembelihan yang dilengkapi kemudahan pembekuan dan pemprosesan daging dan daging tersebut bukan sahaja diagihkan kepada masyarakat di Makkah dan sekitar Tanah Suci, malah turut disalurkan ke lebih 30 negara lain,” katanya.
Selain itu, Mohd Hisham berkata kerjasama antara TH dan ADAHI, dapat memberi jaminan kepada jemaah haji bahawa ibadah dam dan korban mereka dilaksanakan secara telus, bersih serta menepati piawaian antarabangsa yang ditetapkan.
Mohd Hisham turut menasihatkan jemaah haji agar membuat bayaran dam dan korban melalui aplikasi THiJARI, bagi mengelakkan penipuan dan pelaksanaan ibadah yang meragukan.
“Kita mohon jemaah tidak terjebak dengan tawaran harga murah oleh pihak yang tidak dikenali. ADAHI adalah pihak yang sah dan diiktiraf, insya-Allah urusan ibadah para jemaah akan dilaksanakan dengan sempurna dan memberi manfaat kepada umat Islam di seluruh dunia,” katanya.
TH mengumumkan penetapan kadar bayaran dam dan penyertaan korban di Tanah Suci pada jumlah yang sama, iaitu sebanyak RM875 untuk seekor qibas bagi musim haji tahun ini.
-- BERNAMA