DUNIA

PASARAN GETAH MALAYSIA KEKAL NAIK SUSULAN GENCATAN PERDAGANGAN AS-CHINA

14/05/2025 05:54 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia mengekalkan aliran menaik pada hari ini, menjejaki keuntungan di pasaran niaga hadapan getah serantau susulan keyakinan yang berterusan terhadap potensi gencatan perdagangan Amerika Syarikat (AS) - China, kata seorang peniaga.

Beliau menjelaskan sentimen pasaran turut disokong oleh data inflasi AS yang lebih lemah berbanding jangkaan dan penurunan pengeluaran getah asli (NR), seperti yang dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Menurut DOSM, pengeluaran NR Malaysia jatuh sebanyak 20.3 peratus kepada 28,712 tan pada Mac 2025 daripada 36,005 tan yang dicatatkan semasa Februari 2025.

Namun, pengeluaran meningkat sebanyak 6.5 peratus dari tahun ke tahun berbanding 26,966 tan yang disaksikan pada Mac 2024.

"Bagaimanapun, keuntungan selanjutnya telah dihadkan oleh penurunan harga minyak mentah selain pengukuhan ringgit berbanding dolar USyang lebih kuat terhadap dolar US," katanya kepada Bernama.

Buat masa sekarang, harga minyak mentah Brent merosot 0.60 peratus kepada US$66.22 setong.

Manakala, pada 3 petang tadi, Lembaga Getah Malaysia melaporkan bahawa harga SMR 20 menokok sebanyak 10 sen kepada 780 sen sekilogram, manakala lateks pukal meningkat  5.0 sen kepada 616 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan