EKONOMI

PENGELUARAN GETAH ASLI MALAYSIA SUSUT 20.3 PERATUS PADA MAC 2025

14/05/2025 03:55 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mei (Bernama) -- Pengeluaran getah asli Malaysia susut 20.3 peratus kepada 28,712 tan pada Mac 2025 berbanding 36,005 tan pada Februari 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bagaimanapun, pengeluaran meningkat 6.5 peratus tahun ke tahun berbanding 26,966 tan pada Mac 2024.

"Pengeluaran getah asli pada Mac 2025 di Malaysia disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (90.9 peratus) berbanding sektor ladang (9.1 peratus)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata jumlah stok getah asli pada Mac 2025 meningkat 4.1 peratus kepada 215,054 tan daripada 206,665 tan pada bulan sebelumnya. Kilang pemproses getah menyumbang 87.6 peratus kepada stok akhir itu, diikuti oleh kilang pengguna getah (12.3 peratus) dan ladang getah (0.1 peratus).

Mohd Uzir berkata bahawa eksport getah asli Malaysia berjumlah 52,573 tan pada Mac 2025, turun 4.1 peratus berbanding 54,847 tan pada Februari 2025.

China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 47.7 peratus daripada jumlah eksport pada Mac 2025, diikuti oleh Jerman (8.0 peratus), Amerika Syarikat (AS; 7.4 peratus), Emiriah Arab Bersatu (6.3 peratus) dan Mesir (3.3 peratus).

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub dan benang getah. Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama yang bernilai RM1.3 bilion pada Mac 2025, meningkat 9.5 peratus berbanding RM1.2 bilion pada Februari 2025," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan berkata harga purata bulanan lateks pekat meningkat 0.4 peratus kepada 696.05 sen sekilogram pada Mac 2025, berbanding 693.13 sen sekilogram pada Februari 2025, manakala harga getah sekerap menurun 1.1 peratus kepada 761.92 sen sekilogram daripada 770.44 sen sebelumnya.

Ia juga berkata trend harga bagi semua jenis Getah Mutu Malaysia (GMM) pula bercampur-campur, antara peningkatan 0.4 peratus dan menurun 1.9 peratus.

"Data Harga Komoditi Bank Dunia melaporkan bahawa harga bagi getah jenis TSR 20 (Getah Perincian Teknikal) telah menurun 1.5 peratus kepada US$1.98 sekilogram (US$1 = RM4.30) daripada US$2.01 sekilogram, manakala harga di Singapura dan Malaysia menurun sebanyak 2.1 peratus kepada US$2.36 sekilogram daripada US$2.41 sekilogram," kata jabatan itu.

Menurut Malaysia Rubber Board Digest keluaran Mac 2025, Pasaran Getah Kuala Lumpur menunjukkan trend bercampur-campur selaras dengan pasaran niaga hadapan getah serantau apabila sentimen pasaran memberi reaksi terhadap keputusan tarif perdagangan Amerika Syarikat dan perang perdagangan global yang semakin meluas.

“Kejatuhan harga minyak mentah dan turun naik nilai ringgit berbanding dolar AS di tengah-tengah krisis geopolitik yang semakin memuncak turut menjejaskan sentimen pasaran,” tambahnya.

-- BERNAMA 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan