Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz
SINGAPURA, 14 Mei (Bernama) -- Kerja-kerja pembinaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi Singapura secara rasmi dimulakan pada Rabu, selepas projek mega itu dihentikan selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Singapura Lawrence Wong berkata terminal baharu itu akan meningkatkan kapasiti semasa Lapangan Terbang Changi lebih 50 peratus.
“Dari segi keluasan, T5 akan sebesar semua terminal sedia ada digabungkan. Ia akan membolehkan Changi menampung kira-kira 50 juta lagi penumpang setiap tahun,” katanya pada majlis pecah tanah projek itu.
T5 akan terletak dalam kawasan pembangunan Changi East seluas 1,080 hektar dan akan dihubungkan dengan terminal sedia ada bagi membolehkan Changi beroperasi sebagai satu hab penerbangan bersepadu.
Wong berkata rancangan pengembangan itu pertama kali diumumkan pada 2013 dan kerja-kerja perancangan serta persediaan telah dimulakan tidak lama kemudian, namun tertangguh semasa COVID-19.
“Kami manfaatkan masa itu untuk menyemak semula dan menambah baik reka bentuk kami,” katanya.
Sementara itu, perdana menteri berkata T5 akan menjadi pangkalan baharu bagi Singapore Airlines Group (SIA Group) yang ketika ini beroperasi di tiga terminal.
Syarikat Penerbangan Singapore Airlines dan syarikat penerbangan tambang rendahnya, Scoot, kini beroperasi di Terminal 1, 2 dan 3.
“Masih ada ruang untuk syarikat penerbangan lain mengembangkan operasi mereka di T5 dan seluruh Changi,” katanya.
Wong berkata T5 yang dijangka mula beroperasi menjelang pertengahan 2030-an akan membolehkan Changi mencapai sasaran sambungan ke lebih 200 bandar di seluruh dunia, berbanding kira-kira 170 ketika ini.
Beliau berkata T5 juga akan mempunyai hubungan yang lebih baik dengan kawasan lain di Singapura berbanding kemudahan sedia ada.
“Akan ada pusat pengangkutan darat khas yang menyatukan semua pilihan pemindahan penumpang - kereta, teksi, MRT dan bas,” jelasnya.
Beliau berkata sambungan MRT Thomson-East Coast Line akan diperluas ke T5 untuk menghubungkannya ke pusat bandar, dan juga ke terminal Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura di Woodlands North.
T5 juga menawarkan potensi sambungan udara dan laut yang lebih lancar, termasuk perkhidmatan feri ke destinasi berdekatan dari Terminal Feri Tanah Merah.
Wong berkata projek jangka panjang ini akan membawa banyak peluang kepada Singapura, termasuk pekerjaan kepada rakyat dan permintaan terhadap kemahiran baharu seperti sains data, robotik dan kemampanan.
“Kerja pembinaan ini sendiri adalah projek yang kompleks dan syarikat tempatan akan berpeluang untuk turut serta dalam proses berkenaan,” katanya.
Ketika ini, Lapangan Terbang Changi merupakan hab antarabangsa keempat paling sibuk di dunia, dengan jumlah pergerakan penumpang tahunan mencecah 68.4 juta bagi tahun berakhir 31 Mac 2025.
-- BERNAMA