PUTRAJAYA, 13 Mei (Bernama) -- Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak tanggapan bahawa sekiranya Nurul Izzah Anwar kalah dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR, ia akan memberi gambaran penolakan terhadap Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saifuddin Nasution berkata pertandingan bagi jawatan tersebut pada Pemilihan PKR bagi sesi 2025-2028 hanyalah antara Nurul Izzah dengan penyandang Datuk Seri Rafizi Ramli, dan tidak lebih daripada itu.
“Saya tidak melihat bahawa terpilih Nurul Izzah maksud sokongan Anwar, dan tertolaknya Nurul Izzah (satu) penolakan terhadap Anwar.
“Ini pertarungan antara Rafizi dan Nurul Izzah dan anggota parti sedang meneliti (kedua-duanya) sebelum membuat keputusan,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
Rafizi dalam satu ceramah di Kedah semalam dilaporkan berkata PKR bakal berdepan risiko jika Nurul Izzah tewas dalam pemilihan parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pemilihan kali ini perlu dihadapi dengan semangat perpaduan dan serta mengelak sikap berpuak, kerana ia menyebabkan perpecahan dalaman parti yang akhirnya merencatkan gerak kerja selepas pemilihan.
“Pendirian yang saya pegang ialah pemilihan dalam parti bukan soal us versus them. Sebaliknya pemilihan ini adalah tentang we are together. Semua calon yang menawarkan diri perlu sematkan set minda ini,” katanya.
Beliau berkata selepas Kongres Nasional selesai pada 24 Mei dan keputusan muktamad dibuat, parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan mesti bergerak ke depan, serta mempersiapkan untuk Pilihan Raya Negeri Sabah yang akan diadakan pada bila-bila masa.
“Buat masa ini, saya masih Ketua Setiausaha PH (yang) bertanggungjawab kepada gabungan empat parti dan saya juga ahli Biro Politik PKR. Dengan dua tanggungjawab ini, saya masih boleh memberikan peranan,” katanya.
-- BERNAMA