BANGKOK, 13 Mei (Bernama) -- Beregu campuran negara Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien gagal melepasi pusingan pertama Terbuka Thailand 2025 selepas tewas kepada pasangan tuan rumah Phuwanat Horbanluekit-Sapsiree Taerattanachai, malam ini.
Pasangan negara itu tewas 17-21, 20-22 dalam perlawanan sengit yang berlangsung selama 36 minit.
Tien Ci mengakui kegugupan ketika detik genting memberi kesan kepada prestasi mereka sehingga menyebabkan kekalahan.
“Kami bermula dengan baik dan beberapa kali mendahului dalam kedua-dua set, walaupun berdepan sorakan kuat penyokong tuan rumah. Namun, kami menjadi gugup, terutama pada set kedua,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.
Sementara itu, dua wakil perseorangan lelaki negara Justin Hoh dan Aidil Sholeh Ali Sadikin mara ke pusingan 32 selepas menewaskan lawan masing-masing dalam aksi kelayakan.
Justin, yang berada di ranking ke-45 dunia, menewaskan pemain India Ayush Shetty 21-14, 22-20 dalam masa 39 minit, manakala Aidil menundukkan Riku Hatano dari Jepun 21-18, 16-21, 21-17.
Esok, kempen Malaysia diteruskan oleh beregu lelaki juara Asia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dijadual bertemu pasangan bukan pilihan dari Perancis, Julien Maio-William Villeger.
Antara beregu lelaki negara lain yang turut beraksi ialah Man Wei Chong-Tee Kai Wun, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal, Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King, Low Han Yee-Ng Eng Cheong, Nur Mohd Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong dan Kang Khai Xing-Aaron Tai.
Dalam acara perseorangan wanita, satu-satunya wakil negara, Goh Jin Wei berdepan cabaran getir apabila bertemu pilihan utama kejohanan dari China, Chen Yu Fei di pusingan pertama.
Sementara itu, beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah yang juga pilihan utama, dijadual bertemu pasangan India Rashmi Ganesh-Sania Sikkandar.
-- BERNAMA