KUALA LUMPUR, April 18 (Bernama) -- Memasuki edisi keempat tahun ini, Kejohanan Badminton Remaja Allianz (AJBC) 2025 akan meneruskan peranannya dalam mengembangkan bakat pemain yang mungkin satu hari nanti akan mengharumkan nama negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Bhd (Allianz Malaysia) Sean Wang berkata syarikat itu berbangga dapat memainkan peranannya dalam melahirkan pemain badminton yang berkualiti yang akan menyumbang kepada negara pada masa depan.
Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata Allianz Malaysia juga gembira dapat menyediakan platform kepada pemain badminton remaja untuk mengasah kemahiran mereka dan menikmati sukan tersebut.
“Ya, apabila orang bercakap mengenai pembangunan remaja, ia selalunya tentang melahirkan juara seperti Datuk Lee Chong Wei atau juara Piala Thomas.
“Bagi kami di Allianz Malaysia, badminton adalah lebih daripada berusaha menjadi yang terbaik, ia tentang menikmati permainan, berseronok dengan rakan-rakan dan satu cara yang baik untuk belajar tentang disiplin dan kerja berpasukan,” katanya sambil menambah syarikat itu memfokuskan pada penyertaan ramai untuk membangunkan kumpulan bakat yang lebih besar yang mampu untuk menyerlah pada masa hadapan.
Untuk rekod, finalis Kejohanan Remaja Dunia 2024 Low Zi Yu merangkul kejuaraan AJBC ketiganya dalam kategori U-15 Remaja Wanita tahun lepas manakala alumni AJBC Dania Sofea merupakan rakan beregunya Kejohanan Dunia Remaja.
Tahun lepas, lebih 3,000 pemain menyertai AJBC dan bilangan penyertaaan dijangka kekal tahun ini bagi Pusingan Kelayakan 10.
Allianz Malaysia dalam kenyataan sama berkata pusingan pembukaan akan diadakan di Klang pada 16-18 Mei manakala pusingan kelayakan akan berlangsung di venue sekitar negara seperti di Alor Setar, Taiping, Kuching, Kota Kinabalu, Gelang Patah, Kota Bahru, Bukit Beruang, Bukit Mertajam dan Kuantan.
Pusingan Akhir (Grand Finals) AJBC yang menampilkan finalis Bawah-13 dan Bawah-15 daripada semua pusingan kelayakan, akan diadakan di Kuala Lumpur dari 5 hingga 9 Nov dan 24 pemain dari setiap pusingan akan melayakkan diri ke akhir. Pemain Bawah-11 tidak melanjutkan permainan ke Grand Finals AJBC.
“Seperti tahun-tahun sebelum ini, pemain yang menyertai pusingan kelayakan AJBC tidak perlu membayar yuran penyertaan. Tiga pemenang utama dalam pusingan kelayakan, bagi semua kategori umur akan memperoleh RM500, RM300 dan RM150 (perseorangan) and RM600, RM400 dan RM200 (beregu),” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, pemain yang merangkul tiga tempat teratas pada pusingan akhir akan membawa pulang RM1,000, RM600 dan RM300 (perseorangan) serta RM1,200, RM800 dan RM400 (beregu).
Pendaftaran bagi pusingan kelayakan 1 di Klang akan bermula daripada 23 April.
Kejohanan AJBC mendapat sokongan Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Untuk maklumat lanjut dan mereka yang berminat untuk menyertai AJBC, layari laman web www.allianz.com.my/ajbc.
-- BERNAMA