EKONOMI

MALAYSIA UTAMAKAN ISU DIDORONG AI PERDAGANGAN MAMPAN PADA MESYUARAT APEC DI JEJU

12/05/2025 03:37 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Malaysia akan menyertai rakan serantau dan global minggu ini dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Bertanggungjawab Mengenai Perdagangan (MRT) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (AOEC) kali ke-31 di Jeju, Korea Selatan, dengan kecerdasan buatan (AI) dan demografik menjadi antara tumpuan utama.

Dalam kenyataan pada Isnin, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjelaskan Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu, yang dijadualkan pada 15 hingga 16 Mei.

Mesyuarat MRT APEC ke-31 akan dipengerusikan oleh Menteri Perdagangan Korea Selatan, Inkyo Cheong, dan sebagai tuan rumah APEC 2025, Korea Selatan memilih tema ‘Membina Masa Depan Mampan: Hubung. Inovasi. Makmur’.

“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan anggota APEC bagi memastikan kemampanan, inovasi dan perdagangan terbuka saling mengukuhkan serta memberi manfaat kepada semua, seiring dengan usaha rantau ini menuju ke arah Asia-Pasifik yang lebih berdaya tahan, inklusif dan sedia masa depan,” kata Tengku Zafrul.

MITI memaklumkan Malaysia akan memanfaatkan platform APEC untuk menegaskan komitmen teguh negara terhadap sistem perdagangan pelbagai hala yang telus dan berasaskan peraturan, berpandukan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras utama.

Ini berikutan cabaran semasa dalam perdagangan global, tambah kementerian itu.

Menurut MITI komitmen Malaysia itu juga sejajar dengan Wawasan Putrajaya 2040 yang menekankan perdagangan dan pelaburan yang terbuka, adil dan tiada diskriminasi, sebagai pemacu integrasi serantau serta pertumbuhan mampan dan inklusif.

“Malaysia menyokong sepenuhnya tumpuan APEC terhadap AI sebagai pemangkin kepada pemudah cara perdagangan dan inovasi, yang secara langsung mencerminkan aspirasi wawasan tersebut ke arah pembentukan komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan serta aman, dipacu oleh inovasi dan pendigitalan,” tambah kementerian itu.

MITI menjelaskan delegasi Malaysia akan turut mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan dagang utama termasuk kalangan menteri perdagangan APEC-ASEAN serta Ketua Pengarah WTO, Dr Ngozi Okonjo-Iweala.

Mesyuarat Tidak Formal Peringkat Menteri bagi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) juga akan diadakan di sela-sela Mesyuarat MRT itu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan