EKONOMI

PERJANJIAN PERDAGANGAN BEBAS EU-MALAYSIA TERAS PERKUKUH HUBUNGAN STRATEGIK - DUTA

09/05/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Kesatuan Eropah (EU) menganggap Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) blok itu dengan Malaysia yang sedang diusahakan, sebagai tonggak dalam perluasan strateginya untuk memperkukuh kerjasama ekonomi dan geopolitik di negara-negara ASEAN.

Duta Besar EU ke Malaysia Rafael Daerr berkata FTA itu akan meningkatkan aliran perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua ekonomi di tengah-tengah ketidaktentuan global serta cabaran dasar perlindungan ketika ini.

“Ini akan turut berperanan sebagai platform bagi mewujudkan asas kerjasama yang berdaya tahan dan berorientasikan masa depan dalam perkongsian nilai serta pelbagai hala yang berpaksikan undang-undang.

“Perdagangan misalnya adalah ciri utama EU. Kami adalah sekumpulan negara-negara yang percayakan keterbukaan, persaingan adil serta bekerjasama dalam satu rangka kerja yang jelas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada forum “Powering Resilience: EU-Malaysia Partnership in Turbulent Times” (Memperkasa Daya Tahan : Kerjasama EU-Malaysia Ketika Tempoh Mencabar) di Asia School of Business di sini, hari ini.

Acara itu diadakan bersempena sambutan Hari Eropah yang meraikan keamanan dan perpaduan benua itu.

Daer juga berkongsi naratif dengan berkata sekiranya Malaysia sebuah negara anggota EU, ia akan berada dalam kedudukan keenam dari segi jumlah populasi dan ke-11 mengikut skala ekonomi -- sekali gus menunjukkan kepentingannya di peringkat serantau serta seiring dengan cita-cita ekonomi Eropah.

Rundingan FTA yang dihidupkan semula pada Januari tahun ini susulan pengumuman oleh Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dijangka memasuki pusingan pertama tidak lama lagi.

“Kami menjangkakan FTA itu akan mencontohi kejayaan di Vietnam yang menyaksikan lonjakan perdagangan susulan pelaksanaan perjanjian itu pada 2020.

“Ia (memberikan hasil) saling menguntungkan dan akan menggalakkan lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam sektor strategik seperti semikonduktor,” katanya.

Daerr turut menegaskan EU kekal sebagai rakan dagang ketiga terbesar Malaysia serta kedua terbesar dari segi pelabur secara kolektif.

Pelaburan terbaharu Eropah dalam teknologi tinggi serta sektor hijau juga memaparkan keyakinan berterusan terhadap hala tuju ekonomi Malasia.

Beliau turut menekankan FTA yang menjadi sebahagian daripada usaha utama meluas EU ke arah kerjasama diyakini di Asia, didorong oleh gangguan rantaian bekalan global, tindakan Rusia di Ukraine selain peningkatan perpecahan geopolitik yang semakin ketara.

“Orde atau aturan global berteraskan undang-undang kini di bawah tekanan. Atas alasan itu, kami mahukan rakan yang berdaya tahan, bebas dan mempunyai ekonomi kukuh sebagaimana sasaran kami,” katanya.

Selain perdagangan, beliau berkata hubungan EU-Malaysia akan terus berkembang menerusi kerjasama dalam pendidikan, penyelidikan, teknologi hijau dan keselamatan maritim.

Beliau juga menyifatkan tempoh kepengerusian ASEAN diterajui Malaysia sebagai bertepatan dari segi kepimpinan serantau dan momentum dua hala.

Malaysia juga, katanya, berperanan sebagai penyelaras seterusnya bagi hubungan dialog ASEAN-EU.

“Menerusi tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan,’ kepengerusian Malaysia memaparkan komitmen bersama ASEAN dan EU ke arah kemajuan yang memberi manfaat kepada semua,” katanya.

Antara usaha libat urus adalah tiga mesyuarat peringkat menteri ASEAN-EU pada tahun ini, temasuk Forum Serantau ASEAN pada Julai ini dan Mesyuarat Peringkat Menteri Bagi Alam Sekitar dan Iklim pada September depan yang julung kali diadakan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan