EKONOMI

PULAU PINANG TERUS MENYINAR SEBAGAI HAB PEMBUATAN EMAS MALAYSIA

09/05/2025 08:05 PM

GEORGE TOWN, 9 Mei (Bernama) -- Pulau Pinang terus berfungsi sebagai nadi sektor pembuatan emas Malaysia, menyumbang kira-kira 80 peratus daripada jumlah output pengeluaran negara.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Perniagaan Emas dan Permata Malaysia Datuk Chiah Hock Yew berkata pengeluar emas di wilayah utara telah memacu industri ke tahap yang lebih tinggi.

“Pulau Pinang dan Seberang Perai bukan sahaja wilayah utama bagi pembuatan emas di Malaysia tetapi juga berpotensi besar menjadi hab serantau bagi perdagangan emas.

"Kami mengalu-alukan delegasi dari seluruh dunia untuk berunding dan menjalankan perniagaan di sini. Kami juga menjemput pempamer dan pelawat untuk meneroka, membeli, dan mengalami sendiri pengalaman tarikan emas Malaysia, menyuntik tenaga segar ke dalam sektor ekonomi dan pelancongan kami," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapannya pada Pameran Perdagangan Emas dan Barang Kemas Malaysia 2025, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia SPICE, di sini, hari ini, yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Chiah yang memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada 18 April berkata nilai eksport Malaysia bagi produk berkaitan emas pada suku pertama 2025 mencecah RM2.34 bilion, meningkat 9.76 peratus daripada RM2.13 bilion dalam tempoh yang sama pada 2024.

“Angka yang memberangsangkan ini mencerminkan daya saing Malaysia yang semakin meningkat dan potensi kukuh dalam pasaran emas global,” katanya.

Sementara itu, Chow berkata dengan perubahan landskap perdagangan global, kini merupakan masa terbaik untuk meletakkan Pulau Pinang sebagai pemain utama dan juga peneraju dalam industri barang kemas serantau.

Beliau berkata ketidaktentuan ekonomi global telah menyebabkan kenaikan mendadak harga emas, yang baru-baru ini melepasi US$3,000 setiap auns.

"Ini bukan sekadar turun naik pasaran, ia adalah isyarat. Emas terus membuktikan bahawa ia adalah komoditi yang berharga, dan Pameran Perdagangan Emas dan Barang Kemas Malaysia 2025 lebih relevan berbanding sebelum ini,” katanya.

Menurut Chow, tahun lepas sebanyak 20 syarikat yang berpangkalan di Pulau Pinang mengambil bahagian dalam pameran tersebut dan beliau berharap angka itu akan terus berkembang.

"Kami mahu Pulau Pinang bukan sahaja bersinar sebagai tuan rumah pameran global, tetapi juga menjadi peneraju nasional dalam pengeluaran emas dan barang kemas. Kami percaya pada bakat tempatan kami dan potensi PKS kami, dan kami komited untuk menyokong pertumbuhan mereka," katanya.

Pameran tahun ini menarik banyak pempamer antarabangsa terkemuka termasuk Emirates Gold, Emirates Minting, Shangpinjin, dan lain-lain dari China, Hong Kong, Singapura, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Australia, Ireland, India, Myanmar dan Pakistan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan