SEREMBAN, 8 Mei (Bernama) -- Pihak berkaitan termasuk kerajaan negeri diharap lebih agresif melaksanakan projek pembangunan bagi merancakkan lagi pertumbuhan sosioekonomi masyarakat setempat sekali gus dapat menarik pelaburan baharu.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Dr Alias Rameli berkata ini termasuk projek pelabuhan kontena di Port Dickson dan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Selatan membabitkan Banting di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
"Saya secara peribadi meminta Menteri Besar Negeri Sembilan (Datuk Seri Aminuddin Harun) dan Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Ab Rauf Yusoh) untuk menjadi penggerak utama bagi menghidupkan kembali WCE ini kerana faktor utama hendak menarik pelabur perlu ada infrastruktur utama yang mudah.
"Sekarang dari (persimpangan) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) nak pergi ke bandar Melaka ada kalanya ambil masa sehingga sejam setengah kerana perlu melalui lebih 20 lampu isyarat, sama juga Negeri Sembilan, kalau tak ada jaringan perhubungan, perjalanan agak lama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kajian Perancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 di sini hari ini.
Alias berkata seiring pembangunan WCE itu, projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) di negeri terlibat juga wajar dihidupkan semula sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di lebuh raya.
Beliau berkata meskipun pembangunan projek berkenaan memerlukan kos yang tinggi, namun ia akan memberi manfaat jangka panjang kepada negeri terlibat seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.
"Inilah sebahagian daripada draf dokumen Rancangan Struktur, negara harus berubah dari sudut pemikiran jangka panjang dan perancangan strategi dasar mengenai sosioekonomi serta perancangan guna tanah," katanya.
-- BERNAMA