GEORGE TOWN, 8 Mei (Bernama) -- Seorang doktor gigi kerugian RM300,440 selepas terperdaya sindiket penipuan pekerjaan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata warga emas berusia 72 tahun itu menjadi mangsa selepas menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp pada 7.49 malam, 28 Feb lepas.
"Ketika berada di rumahnya, mangsa menerima mesej daripada nombor tidak dikenali yang menawarkan pekerjaan dalam talian yang menjanjikan keuntungan hingga 15 peratus.
"Mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu diminta membuat bayaran kononnya bagi menampung kos harga barang ditempah pelangggan serta turut diarahkan mendaftar akaun perniagaan melalui satu aplikasi yang diberikan suspek,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata mangsa telah memindahkan wang RM300,440 bermula 10 Mac hingga 17 April lepas melibatkan 11 akaun bank berbeza menerusi 17 transaksi dan berasa curiga apabila tidak menerima sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.
Abdul Rozak berkata suspek terus mendesak mangsa membuat bayaran tambahan, namun mangsa mengambil keputusan untuk tidak meneruskan pembayaran kerana mengesyaki ditipu.
"Mangsa kemudian membuat laporan polis dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
-- BERNAMA