EKONOMI

BNM AKAN TURUNKAN NISBAH KEPERLUAN RIZAB BERKANUN KEPADA SATU PERATUS

08/05/2025 08:32 PM

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) akan menurunkan nisbah Keperluan Rizab Berkanun (SRR) sebanyak 100 mata asas iaitu daripada dua peratus kepada satu peratus, berkuat kuasa 16 Mei 2025.

Katanya, keputusan untuk mengurangkan SRR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan bank pusat itu bagi memastikan mudah tunai yang mencukupi dalam sistem kewangan domestik.

"Langkah ini akan membantu bank-bank menguruskan mudah tunai dengan lebih baik dalam persekitaran ketidaktentuan pasaran kewangan yang lebih tinggi serta menyediakan sokongan yang berterusan terhadap aktiviti pengantaraan kewangan.

"Penurunan SRR akan menambah mudah tunai bernilai kira-kira RM19 bilion ke dalam sistem perbankan," kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.

Bank pusat itu berkata, SRR merupakan instrumen untuk menguruskan mudah tunai dan tidak memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari.

Katanya, kadar dasar semalaman (OPR) merupakan satu-satunya penunjuk yang digunakan untuk memberikan isyarat tentang pendirian dasar monetari selain diumumkan melalui Pernyataan Dasar Monetari yang dikeluarkan selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan