ALOR SETAR, 8 Mei (Bernama) -- Lebih 40,000 tiket feri telah terjual sempena penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) yang bermula 20 hingga 24 Mei ini.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata perkhidmatan feri dari Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi juga ditambah kepada 100 trip bagi menampung permintaan yang meningkat dalam tempoh terbabit.
“Kita lihat kemasukan penumpang domestik dan asing ini (ke Langkawi) sebagai satu perkembangan yang sihat.
“Kita masih ada baki tiket dianggar sebanyak 10,000 dan trip tambahan ini berdasarkan jumlah permintaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata jika permintaan menggalakkan, pihaknya akan melanjutkan tempoh pengoperasian feri hingga 12 tengah malam untuk trip dari Kuala Perlis ke Langkawi, namun dari Kuala Kedah hanya setakat 10 malam mengambil kira tempoh perjalanan dan proses pengerukan alur di Kuala Kedah.
Norhafiz berkata pihaknya juga akan memastikan aspek keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan dan pematuhan terhadap prosedur yang ditetapkan Jabatan Laut Malaysia berada pada tahap optimum.
Beliau berkata Ferry Line juga bersedia dengan feri gantian sekiranya berlaku perkara luar jangka seperti feri terkandas di kawasan perairan.
“Kita harap tidak timbul isu dan dari segi keselamatan kita sudah mematuhi semua keperluan yang ditetapkan Jabatan Laut seperti jaket, pelampung dan lampu pandu arah,” katanya.
Norhafiz turut menyarankan orang ramai membeli tiket secara dalam talian dan mengelak pembelian secara fizikal yang dikhuatiri menyebabkan kesesakan di kaunter tiket dalam tempoh terbabit.
-- BERNAMA