MELAKA, 8 Mei (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Moscow Aviation Institute (MAI) memeterai surat hasrat (Lol) bagi menjalin kerjasama yang menumpukan kepada perkongsian kepakaran penyelidikan dalam empat bidang utama.
Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata bidang berkenaan ialah sains komputer, sains bahan, mekatronik serta penyelenggaraan dan pembaikan pesawat.
“Selain itu, UTeM dan MAI berhasrat untuk menjayakan program pertukaran staf dan pelajar termasuk penganjuran program musim panas serta usaha promosi bersama bagi program akademik masing-masing," katanya dalam kenyataan hari ini.
Lol itu ditandatangani Massila mewakili UTeM manakala MAI diwakili Naib Rektor Hal Ehwal Akademiknya Dr Prof Dmitriy Kozorez pada satu majlis di sini baru-baru ini.
Majlis penandatanganan itu disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud dan Timbalan Menteri Sains dan Pendidikan Tinggi Persekutuan Rusia Airat Gatiyatov.
Massila berkata pemeteraian itu menjadi lembaran baharu buat UTeM kerana pertama kali dalam sejarah menjalin hubungan dan kerjasama strategik bersama institusi pendidikan tinggi dari Rusia.
Beliau berkata ia turut memberi impak langsung pengukuhan hubungan baik yang sedia terjalin antara Malaysia dan Rusia dalam konteks pelebaran kerjasama di pentas antarabangsa berfokus kemajuan pendidikan tinggi.
-- BERNAMA