KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan tiga inisiatif termasuk pengenalan Program Pemacu Francais ASEAN untuk memperkasakan ekosistem francais Malaysia.
Beliau berkata program berkenaan boleh dijadikan sebagai inisiatif utama bagi membangunkan jenama francais tempatan melalui bimbingan pakar, akses kepada pembiayaan dan kemasukan ke pasaran serantau yang pantas.
Inisiatif kedua, iaitu Program Cabaran Perniagaan Francais Universiti ASEAN, menurut beliau, satu inisiatif yang mengumpulkan konsep francais terkini daripada pelajar universiti di seluruh ASEAN, dengan idea terbaik berpeluang untuk diterima pakai, dipupuk dan dikembangkan oleh pemain francais terkemuka.
"Akhir sekali, meraikan Hari Francais Sedunia, iaitu acara global yang disambut semua ahli Majlis Francais Dunia (WFC) pada minggu kedua bulan Jun setiap tahun, sebagai tanda penghormatan terhadap impak dan kesatuan komuniti francais global melalui program kesedaran atau persidangan di Malaysia," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Deklarasi Konvensyen Francais ASEAN dan Pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata idea berkenaan mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam melahirkan generasi baharu pemimpin francais yang akan membawa nama Malaysia dengan bangga pada peringkat ASEAN dan antarabangsa.
Ahmad Zahid berkata beliau percaya industri francais bukan sahaja meningkatkan daya saing negara, tetapi juga dapat menjana peluang pekerjaan, melahirkan usahawan dan membina hubungan rentas sempadan yang menyatukan ekonomi dan masyarakat.
Beliau berkata sektor francais Malaysia kini menyumbang lebih RM36 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan lebih 68,000 pekerjaan, membuktikan potensinya yang besar.
Beliau turut menzahirkan keterujaan terhadap sesi padanan perniagaan akan datang yang menampilkan lebih 100 syarikat francais tempatan dan antarabangsa, menawarkan peluang pelaburan dan kerjasama pada konvensyen itu.
"Saya menyeru semua rakyat Malaysia, khususnya golongan belia dan bakal usahawan untuk merebut peluang ini. Ia landasan anda untuk meneroka peluang perniagaan francais yang selari dengan minat dan cita-cita anda, dan melangkah ke pentas serantau dan global.
"Saya yakin konvensyen ini akan muncul sebagai platform utama yang menumpukan kepada penerapan kemampanan dalam model perniagaan, memanfaatkan teknologi digital terkini serta merangsang pertumbuhan francais yang kompetitif, berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata deklarasi bersama yang ditandatangani persatuan francais dari enam negara ASEAN menandakan komitmen bersejarah ke arah kerjasama serantau dalam pembangunan francais.
Beliau berkata kerajaan Malaysia menyokong penuh inisiatif berkenaan dan berharap ia menjadi platform kekal dan inklusif yang memberi manfaat kepada semua pihak berkepentingan.
Terdahulu, deklarasi terbabit dibacakan oleh Pengarah Konvensyen Francais ASEAN (AFC), mengandungi komitmen untuk memastikan kemampanan, pendigitalan dan kerjasama francais ASEAN.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya Datuk Seri R. Ramanan.
-- BERNAMA