AM

PENGUNJUNG DISARAN REBUT PELUANG DAN NIKMATI MANFAAT PMR 2025 SABAH

08/05/2025 01:24 PM

TAWAU, 8 Mei (Bernama) -- Orang ramai perlu merebut peluang mendapatkan pelbagai manfaat termasuk menyelesaikan masalah yang dihadapi di reruai perkhidmatan kerajaan sepanjang Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Sabah di sini bermula esok hingga Ahad ini.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Azizul Alias berkata pengunjung perlu mengunjungi 36 reruai kementerian dan agensi persekutuan serta negeri, selain 204 perkhidmatan titik sentuh rakyat yang disediakan.

“Selain itu terdapat penyertaan 158 usahawan Jualan MADANI, pemeran aset daripada empat agensi kerajaan dan yang paling menarik adalah penyertaan 15 majikan pada Karnival Kerjaya yang menyediakan 608 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor.

“Acara yang menarik dan sentiasa dinantikan pengunjung adalah Jualan MADANI yang menyediakan 200 jenis barangan seperti ayam segar, beras, minyak masak dan telur dengan tawaran potongan harga sehingga 30 peratus,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.

Azizul berkata pengunjung juga perlu memanfaatkan perkhidmatan dan aktiviti bersesuaian untuk semua peringkat masyarakat daripada kanak-kanak, keluarga dan isi rumah, pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia, usahawan dan peniaga kecil serta semua warga tempatan. 

“Dalam program ini, kementerian dan pelbagai agensi berpeluang turun padang untuk mendekati rakyat bagi memberi penjelasan berkaitan dasar dan aspirasi negara serta ruang interaksi bersama pengunjung untuk mendapatkan maklum balas.

“PMR diluaskan ke peringkat negeri bagi memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk bersama-sama memahami, melihat dan menilai dasar serta inisiatif baharu yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup rakyat. Selepas Tawau, PMR akan diteruskan di Johor,” katanya.

Beliau berharap agar penganjuran PMR 2025 Sabah dapat mendekatkan kerajaan serta rakyat, dan objektif murni Malaysia MADANI melalui program ini boleh dihayati dan difahami oleh rakyat.

“Usahawan dan bakal usahawan yang ingin mendapatkan informasi terkini keusahawanan dan koperasi boleh hadir ke pavilion atau reruai perkhidmatan kementerian,” tambahnya.

PMR adalah usaha kerajaan menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik KUSKOP selaku Kementerian Peneraju dan Kerajaan Sabah sebagai tuan rumah untuk membawa perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Tema ‘Menoktahkan Kemiskinan Melalui Keusahawanan’ menjadi landasan utama PMR 2025 Sabah kerana ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani kemiskinan tegar secara mampan melalui pendekatan yang memberdayakan rakyat.

Keusahawanan bertindak sebagai mekanisme strategik untuk membuka peluang pendapatan, pekerjaan dan mobiliti sosial, terutamanya bagi komuniti luar bandar dan B40. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan