AM

KKR KENAL PASTI 20 CERUN BERISIKO SANGAT TINGGI

08/05/2025 01:21 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti sebanyak 20 cerun sangat berisiko tinggi yang memerlukan kerja-kerja pencegahan dan pembaikan segera, dengan kos anggaran RM36 juta, kata Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata sebahagian besar cerun berisiko sangat tinggi itu berada di sepanjang Lebuhraya Timur Barat dan beberapa lokasi di seluruh negara.

“Kita akan buat sesuatu (membaiki cerun) untuk memastikan cerun itu tidak akan memberi kesan buruk kepada nyawa dan harta benda,” katanya kepada media selepas merasmikan Simposium Cerun Negara 2025, di sini hari ini.

Pada simposium itu yang berlangsung iadakan selama dua hari bermula semalam, Nanta turut melancarkan Pelan Induk Cerun Negara (PICN): Pelan Tindakan 2025–2030, yang dirangka bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara serta memperkukuh tadbir urus risiko bencana, khususnya yang berkaitan dengan kejadian tanah runtuh.

Beliau berkata PICN dibangunkan selari dengan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara 2030 oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri, bagi membentuk Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat dan berdaya tahan dalam pengurusan bencana.

“Dengan adanya PICN, semua pihak secara asasnya memikul tanggungjawab bersama dalam usaha mengurangkan risiko bencana, khususnya tanah runtuh, memperkukuh tadbir urus pengurusan cerun negara secara mampan, serta memastikan keselamatan rakyat dan infrastruktur negara terus terpelihara.

“Dokumen ini (PICN) merupakan bukti komitmen berterusan kerajaan dalam usaha mitigasi dan pengurangan risiko bencana, sekali gus mengangkat aspirasi nasional ke arah pembentukan komuniti yang lebih berdaya tahan,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan