KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kerajaan mengambil pendekatan yang teliti dan berhemah dalam menangani isu tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), dengan mengutamakan rundingan diplomatik serta kerjasama serantau.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan itu dilaksanakan secara tenang dan seimbang, dengan tujuan utama untuk melindungi kepentingan negara serta memastikan kelangsungan pertumbuhan ekonomi.
“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia memainkan peranan aktif dalam memperkukuh hubungan dengan AS serta rakan dagang utama seperti China dan Kesatuan Eropah (EU),” kata beliau menerusi hantaran di platform X hari ini.
Beliau berkata dalam masa sama, kerajaan turut meneroka peluang perdagangan baharu dengan negara-negara yang sedang pesat membangun seperti Rusia dan Brazil, sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan pasaran eksport Malaysia.
“Pendekatan ini sejajar dengan strategi ekonomi jangka sederhana negara yang memberi tumpuan kepada kestabilan makroekonomi, daya tahan perdagangan global dan peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), demi memastikan kemakmuran yang inklusif dan mampan untuk seluruh rakyat,” kata beliau.
-- BERNAMA