KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kehadiran wakil International Economic Senate (IWS) dan delegasi World Economic Council membuka peluang pengembangan pelaburan terutamanya melibatkan syarikat Jerman di Malaysia.
Mengalu-alukan lawatan mereka ke Malaysia, Anwar berkata beliau menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi (IWS) Peter Nussbaum dan delegasi World Economic Council awal hari ini.
Beliau berkata langkah ini dilihat sebagai inisiatif berterusan untuk meneroka peluang pengembangan pelaburan khususnya oleh syarikat Jerman.
“Kami bertukar pandangan berkaitan dasar dan kemudahan perniagaan oleh Kerajaan MADANI yang boleh dimanfaatkan pelabur luar.
“Dalam konteks ini, Malaysia melihat peluang yang lebih besar selaras dengan pengumuman penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah Malaysia (MEUFTA) pada 20 Januari lepas,” kata beliau menerusi catatan di laman Facebook hari ini.
IWS ditubuhkan di Jerman bertujuan menyatukan pemimpin perniagaan, usahawan dan penggubal dasar dengan misi untuk memupuk pembangunan ekonomi mampan dan amalan perniagaan yang bertanggungjawab.
World Economic Council adalah antara inisiatif utama IWS yang menghimpunkan pemimpin perniagaan kanan, pegawai kerajaan dan pakar dalam pelbagai bidang.
Jerman ialah rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU) sejak tahun 2000.
-- BERNAMA