POLITIK

PEMILIHAN PKR: ANWAR SAHKAN PERTAHAN JAWATAN, NURUL IZZAH CABAR RAFIZI BAGI TIMBALAN PRESIDEN SETAKAT 8.30 MALAM

09/05/2025 10:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) -- Proses pencalonan bagi Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mempertahankan jawatan sebagai Presiden PKR selepas nama beliau tersenarai dalam laman sesawang pencalonan parti itu.

Menurut sumber, pencalonan bagi Timbalan Presiden pula menyaksikan Nurul Izzah Anwar mencabar Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli yang menyandang jawatan itu, setakat 8.30 malam. 

Bagi jawatan Naib Presiden, 11 ahli telah mengemukakan pencalonan masing-masing termasuk penyandang iaitu Chang Lih Kang (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi), Nik Nazmi Nik Ahmad (Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam), Datuk Seri Amirudin Shari (Menteri Besar Selangor) dan Datuk Seri Aminuddin Harun (Menteri Besar Negeri Sembilan). 

Turut bersaing Timbalan Setiausaha Agung PKR, Dr Sathia Prakash Nadarajan, Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk Seri R. Ramanan (Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi) dan Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin.

Turut tersenarai Ketua Cabang PKR Hulu Rajang Abun Sui Anyit (Ahli Dewan Negara), Hee Loy Sian (bekas EXCO Selangor), R. Yuneswaran (Ahli Parlimen Segamat) dan Mustaffa Kamil Ayub (Pengerusi Institut Keusahawanan Negara atau INSKEN). 

Pencalonan bagi Pemilihan PKR 2025 membabitkan peringkat Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan berlangsung selama dua hari bermula semalam secara dalam talian dan akan berakhir 11.59 malam ini.

Proses bantahan ditetapkan pada 11 dan 12 Mei diikuti rayuan bantahan (13 hingga 14 Mei), tarikh akhir penarikan diri (14 Mei), senarai muktamad calon (15 Mei), tempoh kempen (15-22 Mei) dan pengundian pada 23 Mei.

Kongres Nasional PKR termasuk Kongres AMK dan Kongres Wanita dijadualkan berlangsung dari 21 hingga 24 Mei ini di Johor Bahru.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan