PARIT BUNTAR, 6 Mei (Bernama) -- Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak dijangka mampu menghasilkan kira-kira 250,000 beg Benih Padi Sah (BPS) dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik setahun.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata ia juga bakal memberi manfaat kepada 16,000 pesawah di seluruh Perak.
Beliau berkata pusat itu bakal berperanan sebagai tempat rujukan melibatkan benih padi sah berkualiti dan memenuhi keperluan pesawah.
“Patik percaya, setelah tertubuhnya pusat pengeluaran ini pembangunan di daerah ini juga akan menyusul.
"Pembangunan ekonomi dan sosial adalah sebahagian manfaat yang diterima masyarakat sekitar sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya ketika menyampaikan sembah ucapan sempena Majlis Perasmian Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah PPN Perak di sini hari ini.
Terdahulu, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyempurnakan majlis perasmian pusat berkenaan.
Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Dalam pada itu, Mohamad Sabu berkata terdapat tiga lagi pusat pengeluaran benih padi sah yang diwujudkan di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah bertujuan melengkapkan rantaian nilai industri padi.
Beliau berkata kementerian memberi tumpuan kepada dua agenda utama iaitu mereformasi industri padi dan beras negara serta meningkatkan produktiviti ruminan, khususnya pengeluaran daging lembu serta kerbau.
“Reformasi industri padi dan beras tidak hanya bertujuan kemandirian bekalan, tetapi juga untuk membawa industri ke tahap lebih tinggi serta meningkatkan pendapatan para pesawah kita,” katanya.
-- BERNAMA