PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Pelaksanaan perakaunan pengurusan memerlukan adaptasi menyeluruh dalam sektor awam bagi memperkukuh pengurusan kewangan negara.
Akauntan Negara Nor Yati Ahmad berkata pelaksanaan mekanisme itu perlu ditingkatkan dalam kementerian-kementerian melalui penggunaan data dan membantu membuat keputusan kewangan yang bijak.
Beliau berkata pelaksanaan perakaunan pengurusan yang bermula sejak 2020, menunjukkan beberapa kementerian menggunakan mekanisme itu dengan cemerlang.
“Namun berdasarkan kepada statistik pelaksanaan sehingga 2024, masih terdapat kementerian yang mempunyai ruang untuk ditingkatkan lagi pelaksanaannya,” katanya pada Seminar Perakaunan Pengurusan 2025 di sini hari ini.
Justeru, Nor Yati berkata Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) menyeru semua kementerian dan jabatan mengambil peluang mengadaptasi pelaksanaan mekanisme itu agar manfaat yang diperoleh dapat membantu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan, sekali gus memberi faedah kepada rakyat.
Beliau berkata perakaunan pengurusan membantu kementerian dan jabatan membuat keputusan yang lebih tepat berdasarkan data-data yang diperoleh, nilai terbaik untuk wang dan penggunaan sumber secara optimum yang mampu mengubah landskap pengurusan kewangan kerajaan.
Nor Yati berkata pelaksanaan mekanisme itu melalui penganalisis penyata kewangan dan penilaian risiko, pengekosan, pengukuran prestasi dan analisis sumber dapat membantu memantau serta menilai kecekapan dan keberkesanan setiap program yang dilaksanakan bagi memastikan sumber digunakan secara optimum.
“Sebagai contoh, kementerian boleh menganalisis perbelanjaan utiliti di semua pejabat dan mengenal pasti jabatan yang mempunyai bil elektrik yang agak tinggi.
“Dengan maklumat ini, langkah penjimatan seperti penggunaan lampu diod pemancar cahaya atau penyelenggaraan peralatan elektrik boleh diperkenalkan bagi mengurangkan kos operasi tanpa menjejaskan produktiviti,” katanya.
Nor Yati berkata perakaunan pengurusan turut dilaksanakan di beberapa negara bagi sektor awam, contohnya Australia menerapkan Belanjawan Berasaskan Prestasi dalam agihan dana dan aktiviti utama serta menjadikan petunjuk prestasi utama dalam pemantauan dasar kerajaan.
Nor Yati berkata penggunaan data amat penting dalam memberikan gambaran menyeluruh terhadap corak perbelanjaan, keberkesanan program serta potensi penambahbaikan dalam pengurusan kewangan kerajaan.
Beliau berkata JANM komited membantu kerajaan dalam mengawal perbelanjaan dengan merancang strategi kewangan secara berkesan termasuk membuat penilaian atas pelaburan, mengenal pasti punca pembaziran dan membentuk kawalan dalaman yang lebih telus serta mengurus projek dan aktiviti berdasarkan risiko.
Sementara itu, Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata kerajaan mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan pindaan Akta Audit 1957 yang mampu memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.
Beliau berkata seminar perakaunan pengurusan anjuran JANM mampu membantu dari segi pelaksanaan susulan daripada pindaan akta berkenaan yang dilaksanakan tahun lepas.
“Kita lihat (usaha) itu adalah satu lagi pemantapan kepada ekosistem pengurusan kewangan dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Seminar anjuran JANM, agensi di bawah Kementerian Kewangan dengan tema Perakaunan Pengurusan: Daripada Data kepada Pembuatan Keputusan itu julung kalinya diadakan selari dengan usaha kerajaan untuk mewujudkan tatakelola pengurusan kewangan yang cekap dan berintegriti.
-- BERNAMA