PUTRAJAYA, 6 Mei (Bernama) -- Amalan pembelian tergesa-gesa pada hujung tahun atau “Christmas Shopping” dalam perkhidmatan awam yang menyebabkan pembaziran sumber perlu dielakkan sama sekali, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata pengurusan perbelanjaan yang tidak berhemat, bukan sahaja menjejaskan kecekapan penggunaan sumber, malah boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap integriti dan tadbir urus kerajaan.
Shamsul Azri berkata Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) telah membangkitkan isu-isu pengurusan kewangan kerajaan, namun isu penyelewengan dan pembaziran sumber awam masih berlaku.
“Jika dibiarkan isu ini menjadi semakin kompleks dan tiada penyelesaian yang tuntas, ia akan menjejaskan kredibiliti dan persepsi masyarakat terhadap penjawat awam secara umumnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian Seminar Perakaunan Pengurusan 2025 bertema “Perakaunan Pengurusan: Daripada Data kepada Pembuatan Keputusan” anjuran Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM), di sini hari ini. Teks ucapannya dibacakan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.
Justeru, Shamsul Azri berkata penjawat awam perlu memastikan ketelusan, integriti kebertanggungjawaban menjadi teras kepada prinsip-prinsip dalam tatakelola dan etika.
Beliau berkata Kerajaan MADANI memberikan tumpuan untuk mengoptimumkan perbelanjaan awam dengan menyemak semula dasar perbelanjaan dan pengagihan sumber yang terhad bagi memastikan kecekapan, keberkesanan dan nilai untuk wang.
“Penerusan pelaksanaan dasar ke arah subsidi bersasar membolehkan kerajaan mengurangkan pembaziran dan ketirisan, serta menyediakan ruang fiskal untuk menambah baik bantuan kepada golongan rentan,” katanya.
Shamsul Azri berkata kerajaan juga telah mengambil langkah positif ke hadapan dengan melaksanakan pindaan Akta Audit 1957, yang akan memberi impak positif melalui skop pengauditan terhadap pengurusan wang awam.
Beliau berkata usaha itu juga memastikan syor audit sentiasa diberi perhatian serius dan diambil tindakan sewajarnya oleh semua pihak sama ada kementerian, jabatan dan agensi serta mana-mana badan termasuk syarikat yang menerima wang awam.
Beliau berkata JANM sebagai agensi peneraju perakaunan pengurusan di semua kementerian, telah mengambil inisiatif pelaksanaan melalui pengenalan Pekeliing Perbendaharaan Malaysia PS 1.3 - Pelaksanaan Perakaunan Pengurusan.
Shamsul Azri berkata pekeliling itu adalah untuk menerangkan dasar dan pelaksanaan perakaunan pengurusan melalui pengenalan Perakaunan Pengurusan dan Pelaporan Strategik atau dikenali Strategic Management Accounting and Reporting (SMARt).
“Penekanan perakaunan pengurusan akan diberikan ke atas aspek nilai faedah yang terbaik yang merupakan pelengkap kepada pengurusan fiskal kerajaan.
“Usaha ini secara langsung dapat meningkatkan tahap kecekapan, keberkesanan dan akauntabiliti kementerian dalam mengurus kewangan, risiko, sumber dan prestasi perkhidmatan awam dengan memastikan penggunaan sumber secara optimum,” katanya.
Justeru, Shamsul Azri menyeru semua ketua setiausaha kementerian yang juga bertanggungjawab sebagai pegawai pengawal di kementerian masing-masing, perlu memastikan keberkesanan pelaksanaan perakaunan pengurusan serta pelaporan SMARt bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan kewangan yang dibuat.
“Para penjawat awam perlu mengambil langkah proaktif bagi menimba kecekapan teknikal yang kian kompleks dalam kewangan dan perakaunan, serta melengkapkan diri dengan kepintaran bukan kewangan untuk meningkatkan keberkesanan amalan perakaunan pengurusan di sektor awam.
“Adaptasi teknologi berasaskan analisis data raya, kecerdasan buatan (AI) dan automasi pintar dapat membantu agensi kerajaan mengumpul, menganalisis serta mentafsir maklumat kewangan secara masa nyata,” katanya.
-- BERNAMA