SUKAN

NOR SAIFUL KEMBALI BIMBING 'YOUNG TIGERS'

06/05/2025 05:50 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Bekas pemain negara Nor Saiful Zaini Nasiruddin dilantik semula menjadi ketua jurulatih skuad hoki remaja lelaki kebangsaan buat kali kedua dalam tempoh lima tahun.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia Datuk Seri Subahan Kamal berkata Nor Saiful akan menggalas tugas mengemudi pasukan Young Tigers selama tiga tahun, menggantikan bekas pengendali I. Vikneswaran yang berhasrat memberi tumpuan penuh kepada pembangunan sukan hoki Kuala Lumpur.

“Terima kasih kepada jawatankuasa kejurulatihan kami yang memberi cadangan pelantikan Nor Saiful ini. Saya yakin, pasukan negara akan berada di bawah tangan orang yang betul dan kami akan membantu serta menyokongnya.

“Dia tahu asam garam sukan hoki negara dan kita berharap pelantikan ini memberi semangat kepada jurulatih Nor Saiful untuk terus membawa hoki negara ke tahap lebih tinggi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Subahan berkata tugas besar pertama Nor Saiful adalah membawa cabaran Malaysia pada Kejohanan Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki (JWC) 2025 yang dijadual berlangsung di Tamil Nadu, India, dari 28 Nov hingga 10 Dis ini.

Dalam pada itu, Nor Saiful, yang pernah melatih Young Tigers buat kali pertama dari tahun 2016 hingga 2020 memiliki perancangan jangka pendek dalam meningkatkan tahap kecergasan serta mental para pemain sebelum berjuang pada JWC 2025.

Pada masa sama, bekas penyerang negara berstatus Olimpian itu juga berharap dapat mencari sekurang-kurangnya 30 pemain yang berpotensi untuk diserap dalam skuad hoki remaja lelaki negara bagi menghadapi kejohanan berkenaan.

Nor Saiful berkata beliau juga mahu melihat skuad negara mampu mencatatkan kemenangan ke atas pasukan di bawah ranking selain memberi tentangan sengit kepada pasukan handalan lain.

Skuad hoki remaja lelaki negara mengesahkan tempat ke JWC 2025 selepas menamatkan Kejohanan Hoki Piala Remaja Lelaki Asia 2024 di kedudukan keempat di Muscat, Oman, sekali gus mengisi kuota enam pasukan terbaik daripada saingan benua berkenaan.

Malaysia yang menjadi tuan rumah JWC edisi lepas hanya menamatkan kempen di tempat ke-12.

Sementara itu, Vikneswaran percaya pelantikan Nor Saiful bukan sahaja mampu mencetuskan impak positif, tetapi meningkatkan prestasi skuad hoki remaja lelaki kebangsaan ke tahap lebih baik.

Februari lepas, Vikneswaran mengekalkan jawatan presiden bagi penggal 2024 hingga 2025 Persatuan Hoki Kuala Lumpur (KLHA) selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan jawatankuasa persatuan itu.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan