AM

MALAYSIA PERLU BINA DAYA TAHAN EKONOMI DOMESTIK - PM

06/05/2025 06:14 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Malaysia perlu membina kekuatan daya tahan ekonomi domestik melalui peningkatan ilmu dan kepakaran dalam kalangan anak muda bagi mendepani cabaran global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Beliau berkata pendekatan itu penting supaya Malaysia mampu bergantung kepada keupayaan sendiri sekali gus memastikan negara lebih selamat dan aman sekiranya berlaku ketidaktentuan dasar ekonomi dunia. 

“Kita perlu membina kekuatan dalaman dulu, daya tahan ekonomi domestik, walaupun kita menggunakan teknologi asing tetapi kita harus mencari kaedah-kaedah baharu dan ini ditentukan oleh anak-anak muda.

“Dengan dasar yang jelas, maksudnya kita bergantung lebih kepada keupayaan kita, hidupkan perniagaan, pengurusan dan kepakaran tempatan,” katanya pada Majlis Peluncuran Peluang Pekerjaan dan Penyerahan Surat Tawaran PLKI-ECRL bagi Fasa Pengoperasian dan Penyelenggaraan (O&M) ECRL di sini hari ini.

Justeru itu, Perdana Menteri mahu anak muda yang diberi peluang menimba ilmu dan kemahiran di negara luar agar sentiasa berdisiplin serta memanfaatkan segala pengetahuan dan kepakaran yang diperoleh untuk menjadi generasi lebih baik.

Mengambil contoh sektor semikonduktor yang menggunakan kepakaran tempatan, Perdana Menteri berkata industri itu sedang meningkat maju di Malaysia sehingga menarik pelabur asing untuk melabur di negara ini. 

Beliau juga berkata Malaysia bernasib baik apabila satu daripada syarikat semikonduktor terbesar dunia iaitu Advanced Micro Devices Inc (AMD) hari ini menyatakan hasrat untuk menjadikan negara sebagai pangkalan bagi advanced packaging serta advanced design semikonduktor di Pulau Pinang dan Cyberjaya.

“Kita dalam semikonduktor ini tidak ketinggalan tetapi teknologi itu masih dikatakan back end, masih setakat keupayaan pembuatan.

“(Dalam pertemuan dengan syarikat itu) sudah tentu saya jawab welcome kerana ini maknanya anak-anak kita akan dilatih dan menjadi lebih berupaya dalam bidang mereka menguasai teknologi semikonduktor, kecerdasan buatan serta memenuhi keperluan yang disebut advanced packaging dan advanced design yang dianggap front end,” katanya. 

Perdana Menteri berkata pendekatan yang sama juga harus diambil oleh industri tenaga di Malaysia seperti tenaga solar susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) kini mengenakan tarif ke atas China.

"AS menaikkan kadar tarif yang tinggi bagi mana-mana pengeluaran solar kalau ia berpangkalan di China atau operasi oleh syarikat China. 

"Jadi apakah kita akan menyerah tanpa menggunakan manfaat itu. Kita harus bersedia dengan mengambil langkah menggunakan solar tempatan di bangunan kita sama ada (bangunan) kerajaan atau swasta, sekolah dan hospital," katanya.

Pada majlis itu, Anwar turut menyampaikan surat tawaran kepada beberapa pelatih yang akan menjalani latihan intensif selama setahun di Liuzhou, China di bawah Program Latihan Kemahiran Industri (PLKI) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Kumpulan pertama terdiri daripada 102 orang dijadual berlepas ke China secara berperingkat bermula 15 Mei bagi memulakan latihan. 

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan