JENAYAH & MAHKAMAH

KASTAM KELANTAN RAMPAS METHAMPHETAMINE BERNILAI LEBIH RM500,000

04/05/2025 11:20 AM

KOTA BHARU, 4 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan merampas sebanyak 18.032 kilogram dadah dipercayai jenis methamphetamine dianggarkan bernilai RM585,664 dalam satu serbuan di Kampung Resak, Pasir Mas pada 10 April lepas.

Pengarahnya Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan dilakukan kira-kira 7.18 pagi oleh Pasukan Operasi Cawangan Penguatkuasaan Kota Bharu susulan maklumat awam.

Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Proton Iswara yang ditinggalkan di kawasan itu menemukan satu guni berisi 17 ketulan mampat serbuk putih jernih menyerupai kristal, dipercayai  dadah jenis methamphetamine.

“Nilai anggaran dadah itu di pasaran semasa ialah RM585,664 manakala nilai kenderaan terbabit dianggarkan berjumlah RM1,000.

“Siasatan awal mendapati sindiket terlibat dipercayai menggunakan kenderaan sebagai tempat penyimpanan sementara sebelum dadah berkenaan diedarkan kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Jamal berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau menggesa orang ramai terus membantu JKDM dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan.

“Maklumat boleh disalurkan melalui Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau dengan menghubungi mana-mana pejabat kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan