AM

RAMPASAN DADAH KL MENINGKAT ENAM KALI GANDA

07/04/2025 06:43 PM

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM118 juta menerusi 5,783 tangkapan yang dilakukan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa.

Beliau berkata jumlah itu meningkat enam kali ganda berbanding nilai rampasan dalam tempoh sama tahun lepas iaitu RM19.3 juta nilai dadah dengan 5,977 tangkapan.

 “Malah ia turut melebihi nilai rampasan dadah sepanjang tahun lepas iaitu RM112.8 juta melibatkan 21,544 orang tangkapan.

“...tetapi kita tak boleh terus rasa berpuas hati dengan pencapaian ini, sebab kalau boleh, kita nak banteras dadah ini semaksimum mungkin,” katanya pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan upacara serah terima tugas antara Ketua JSJN Kuala Lumpur yang baharu ACP Zulkepli Hashim dengan pemangku Ketua JSJN Kuala Lumpur Supt Mohamad Alpiyang Ali yang memangku jawatan tersebut sejak 6 Jan lepas.

"Diharap dengan pengalaman ACP Zulkepli Hashim sebagai Ketua JSJN di Sabah dapat membanteras jenayah narkotik dengan lebih berkesan di kota metropolitan ini," katanya ketika berucap pada majlis itu yang diadakan di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan