EKONOMI

POLIS TINGKATKAN KESELAMATAN DI KAWASAN TUMPUAN MESYUARAT MENTERI KEWANGAN, GABENOR BANK PUSAT ASEAN

07/04/2025 12:41 PM

Oleh Muhammad Faiz Baharin

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Polis memperketatkan kawalan keselamatan di beberapa kawasan tumpuan di sini bagi memastikan kelancaran Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN KE-12 (AFMGM) dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) yang bermula hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata ketika ini pihaknya menempatkan 22 pegawai kanan polis bersama 313 pegawai pelbagai pangkat untuk bertugas di lokasi dikenal pasti.

Beliau berkata ia melibatkan pasukan pengiring, kawalan keselamatan dan petugas trafik di kawasan tumpuan seperti lokasi utama penganjuran AFMGM di KLCC, dua hotel penginapan (Mandarin Oriental dan Grand Hyatt) serta beberapa tempat yang terlibat dalam program sampingan melibatkan delegasi atau peserta.

“Kita juga menempatkan balai polis bergerak di kawasan-kawasan berkenaan, di samping memastikan semua pegawai dan anggota yang terlibat itu disediakan dengan kelengkapan mencukupi dan bersedia untuk memberi kerjasama dan bantuan sekiranya diperlukan. 

“Selain itu kita juga bekerjasama dengan polis Selangor dalam aspek ketibaan dan pelepasan pulang delegasi luar di dua lapangan terbang iaitu KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Rusdi berkata bagi memastikan keselamatan semua pihak sepanjang berlangsungnya AFMGM, polis turut melaksanakan beberapa operasi khas, melakukan pemeriksaan dan tapisan keselamatan terutama di lokasi mesyuarat, selain sentiasa mengemas kini maklumat berkaitan bagi memastikan segalanya berjalan lancar.

“Saya sendiri pada 19 Mac lepas telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan keselamatan dan mendapatkan taklimat daripada Kementerian Kewangan, urusetia daripada Bukit Aman, pegawai-pegawai berkaitan serta pemilik lokasi penginapan dan mesyuarat.

“Kita komited untuk bekerjasama dengan semua, untuk memastikan bukan sahaja semuanya dalam keadaan selamat, malah memberi pengalaman manis kepada peserta dan delegasi luar yang hadir berkunjung ke Malaysia sempena mesyuarat kali ini,” katanya.

AFMGM dan mesyuarat berkaitan yang bermula hari ini hingga Khamis, menjangkakan lebih daripada 300 delegasi, terdiri daripada menteri kewangan ASEAN, gabenor bank pusat, institusi kewangan antarabangsa dan wakil sektor swasta, akan mengambil bahagian dalam mesyuarat berkaitan, persidangan pelaburan dan pameran.

Sepanjang empat hari, 14 mesyuarat akan diadakan termasuk perbincangan peringkat tinggi dengan Majlis Perniagaan ASEAN-AS, ASEAN-Kesatuan Eropah dan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan