AM

PRESIDEN OSMANI DIBERI SAMBUTAN RASMI DI PERDANA PUTRA

02/05/2025 09:47 AM

PUTRAJAYA, 2 Mei (Bernama) -- Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu, yang dalam rangka lawatan rasmi empat hari ke Malaysia, diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Sebaik tiba pada 9 pagi, Osmani disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Osmani kemudian memeriksa kawalan kehormatan terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (Istiadat) yang diketuai Mej Muhammad Fikri Senan.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, anggota Kabinet, diplomat asing serta pegawai kanan kerajaan.

Selepas itu, Osmani menandatangani buku pelawat sebelum meneruskan pertemuan empat mata dengan Anwar.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008 sekali gus tampil sebagai negara Asia pertama yang berbuat demikian.

Hubungan diplomatik pula diwujudkan secara rasmi pada 18 Mac 2011.

Pada 2024, nilai perdagangan dua hala antara Malaysia dengan Kosovo mencecah RM28.55 juta (USD6 juta) dengan eksport negara ke republik itu sebanyak RM25.92 juta (USD5.5 juta) dan import RM2.63 juta (USD550,000).

Eksport utama Malaysia termasuk minyak sawit, produk elektrik dan elektronik serta barangan perkilangan manakala import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu permata.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan