Oleh Zufazlin Baharuddin
KUALA LUMPUR, 2 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia mengatasi penyusutan awal hari ini apabila indeks petunjuk utamanya mencecah paras intra harian tertinggi, seiring prestasi positif pasaran serantau serta aktiviti belian saat-saat akhir saham telekomunikasi, pembinaan, hartanah dan berkaitan pusat data.
Pada 5 petang, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.27 mata atau 0.15 peratus kepada 1,542.49 daripada 1,540.22 di akhir dagangan Selasa lepas.
Pasaran ditutup semalam sempena cuti umum Hari Pekerja.
Indeks penanda aras itu dibuka susut 2.80 mata kepada 1,537.42 dan turut mencecah paras rendah 1,532.23 dalam sesi dagangan awal sebelum melantun ke paras intra harian pada penutup.
Sentimen pasaran juga positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 744 berbanding 311 manakala 449 kaunter tidak berubah, 840 tidak diniagakan dan 20 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.73 bilion unit bernilai RM2.46 bilion daripada 2.56 bilion unit bernilai RM2.25 bilion pada Rabu lepas.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata indeks serantau utama mencatat peningkatan kecil selepas China memberi isyarat sedang menilai potensi rundingan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).
“Perkembangan sedemikian membantu meningkatkan sentimen pasaran dan menarik aliran dana asing ke rantau ini.
“Kementerian Perdagangan China berkata AS baru-baru ini telah menyatakan minat untuk menyambung semula rundingan dan China sedang meneliti perkara itu," katanya kepada Bernama.
Di peringkat domestik, Thong kekal optimis mengenai usaha meredakan ketegangan perdagangan antara kedua-dua kuasa besar ekonomi dunia itu walaupun beliau kekal berhati-hati mengenai hasil rundingan itu.
Saham wajaran tinggi Sunway Bhd naik 24 sen kepada RM4.79, IHH Healthcare meraih 13 sen kepada RM7.05, Gamuda menokok 16 sen kepada RM4.40, IOI Corp menambah enam sen kepada RM3.72 dan CelcomDigi meningkat tiga sen kepada RM3.85.
Bagi saham aktif, Reach Ten yang melakukan penampilan sulung serta Tanco masing-masing naik dua sen kepada 54 sen dan 88 sen, Nationgate meraih 16 sen kepada RM1.52, Jaks Resources menokok 2.5 sen kepada 12 sen manakala Avangaad mendatar pada 27.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas meraih 81.60 mata kepada 11,489.38, Indeks FBMT 100 menokok 72.80 mata kepada 11,257.24, Indeks FBM Emas Shariah menambah 116.06 mata kepada 11,390.35, Indeks FBM 70 melonjak 329.17 mata kepada 16,274.54 manakala Indeks FBM ACE naik 20.54 mata kepada 4,649.20.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 6.34 mata kepada 18,240.95, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.81 mata kepada 152.29, Indeks Tenaga meraih 6.83 mata kepada 694.97 dan Indeks Perladangan menambah 26.35 mata kepada 7,283.77.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama meningkat kepada 1.70 bilion unit bernilai RM2.04 bilion berbanding 1.33 bilion unit bernilai RM2.04 bilion pada Rabu.
Selain itu, jumlah waran susut kepada 689.48 bilion unit bernilai RM75.64 juta daripada 814.34 juta unit bernilai RM91.56 juta, sebelum ini.
Di Pasaran ACE, jumlah dagangan berkurangan kepada 341.65 juta unit bernilai RM108.73 juta daripada 417.40 juta unit bernilai RM113.82 juta pada Rabu.
Selain itu, kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 195.05 juta saham diniagakan di Pasaran Utama manakala produk dan perkhidmatan perindustrian (272.02 juta), pembinaan (190.88 juta), teknologi (253.14 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (483.31 juta), hartanah (228.45 juta), perladangan (25.45 juta), REIT (13.38 juta), dana tertutup (43,000), tenaga (99.80 juta), penjagaan kesihatan (67.91 juta), telekomunikasi dan media (172.82 juta), pengangkutan dan logistik (47.52 juta), utiliti (60.68 juta), dan amanah perniagaan (48,100).
-- BERNAMA