AM

MEKANISME KETELUSAN HARGA UBAT PERKASA HAK PENGGUNA DALAM SEKTOR KESIHATAN - CAP

02/05/2025 06:48 PM

GEORGE TOWN, 2 Mei (Bernama) -- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyifatkan penguatkuasaan Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU) bermula semalam, sebagai langkah penting ke arah ketelusan, akauntabiliti dan pemerkasaan pengguna dalam sektor penjagaan kesihatan.  

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata ini kerana pengguna berhak untuk mendapat maklumat, membuat pilihan, bersuara dan hak berasa selamat ketika menggunakan sesuatu barangan.

“Penguatkuasaan undang-undang ini secara tidak langsung dapat menegakkan hak sejagat pengguna terhadap maklumat dan pilihan.

“Ia juga membolehkan pengguna membandingkan harga ubat, merancang perbelanjaan penjagaan kesihatan mereka serta mengelak daripada dikenakan bayaran berlebihan. Ini penting memandangkan kos sara hidup semakin meningkat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kumpulan pengguna Malaysia turut berpendirian sama dengan menyatakan bahawa MKHU itu merupakan satu langkah kritikal ke arah menangani isu harga tidak jelas dan variasi harga antara fasiliti hingga menyukarkan pengguna. 

Menerusi kenyataan bersama Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia, Persatuan Pengguna Luar Bandar dan Ekologi Malaysia, Teras Pengupayaan Melayu dan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur, Mohideen menegaskan undang-undang itu adalah mekanisme memaparkan harga dan tidak boleh dikelirukan dengan kawalan harga. 

“Dengan mewajibkan paparan harga, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup telah mengambil langkah untuk menegakkan hak sejagat pengguna dalam mendapatkan maklumat dan membuat pilihan, membolehkan rakyat Malaysia membandingkan harga ubat, merancang perbelanjaan penjagaan kesihatan mereka dan mengelak daripada dikenakan caj berlebihan. 

“Selain itu, dengan kadar inflasi perubatan Malaysia mencecah 15 peratus jauh melebihi purata serantau dan global, penandaan harga yang telus adalah langkah pertama yang perlu ke arah mengekang kenaikan harga yang tidak wajar dan melindungi belanjawan isi rumah,” katanya.

Mengenai dakwaan pemaparan harga ubat boleh memberi kesan kepada pendapatan doktor atau kemampanan klinik swasta, kumpulan pengguna itu berkata isu itu tidak wajar dikaitkan kerana dasar tersebut hanya tertumpu pada harga ubat dan bukannya yuran atau pendapatan profesional penjagaan kesihatan seperti doktor. 

Menurut kenyataan itu pendapatan doktor ditentukan oleh kepakaran, kualiti perkhidmatan dan yuran konsultasi dan bukan hasil tersembunyi daripada penjualan ubatan.

“Justeru, kami menggesa semua penyedia penjagaan kesihatan untuk mematuhi undang-undang bagi menjamin hak pengguna dan kepentingan awam, pada masa sama menyokong langkah penting ini dalam memberikan saluran kepada pengguna untuk melaporkan sebarang ketidakpatuhan kepada pihak berkuasa,” katanya.

Bermula semalam, semua premis klinik dan farmasi komuniti wajib memaparkan harga ubat yang dijual di premis masing-masing kepada pengguna dan arahan itu dikuatkuasakan menerusi pewartaan Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 yang menetapkan semua ubat perlu disertakan dengan tanda harga yang jelas, sama ada di rak pameran, katalog atau senarai harga bertulis.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan