ALOR SETAR, 29 April (Bernama) -- Semua kontraktor di bawah Kementerian Kerja Raya yang mengendalikan projek kerajaan disaran supaya menyiapkan projek mereka lebih awal daripada jadual ditetapkan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara itu bukanlah sesuatu di luar kebiasaan apabila telah dibuktikan dalam beberapa projek sebelum ini antaranya di Sarawak, Labuan dan Johor, dengan berjaya menyiapkan pembinaan sekolah dalam tempoh enam bulan dan setahun lebih awal.
"Saya nasihatkan supaya semua projek siap lebih awal atau Ahead of Time (AOT) bagi mengelakkan projek sakit atau Extension of Time (EOT) yang sangat merugikan semua pihak. Sekarang sebanyak 3.5 peratus projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dikategorikan sebagai projek sakit.
"Apabila projek disiapkan lebih awal, ia dapat mengurangkan kos pada pihak kontraktor… paling penting rakyat boleh menerima perkhidmatan menerusi projek itu lebih awal dari masa ditetapkan," katanya selepas sesi taklimat berhubung projek-projek yang telah dan sedang dilakukan oleh JKR Kedah di sini hari ini.
Sebelum ini, beliau berkata hanya 3.62 peratus atau 29 daripada 801 projek di bawah seliaan JKR dikategorikan sebagai projek sakit dan daripada jumlah itu, sebanyak 22 projek atau 75.86 peratus berpunca daripada masalah kontraktor.
Sementara itu, Ahmad berkata terdapat 68 projek Persekutuan dan 12 projek negeri di Kedah sedang disiapkan dan daripada jumlah itu didapati hanya empat projek sakit, namun pemantauan rapi dilakukan JKR Kedah bagi memastikan ia siap mengikut tempoh ditetapkan.
"Bagi memastikan tiada lagi projek sakit ini, saya minta mereka (JKR) amalkan formula '5T' iaitu turun padang, penggunaan teknologi terkini, pengurusan masa, kerja berpasukan dan terbaik segalanya. Kalau diamalkan, lepas ini sifar projek sakit," katanya.
-- BERNAMA