AM

MALAYSIA-MALDIVES KOMITED PUPUK PERPADUAN UMMAH, PENYELESAIAN AMAN KEPADA KONFLIK GLOBAL

28/04/2025 01:36 PM

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Maldives Dr Mohamed Muizzu mengesahkan komitmen bersama dalam memupuk perpaduan Ummah Islam dan menegakkan prinsip teras Islam.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas pertemuan mereka di sini hari ini, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa isu-isu global, termasuk konflik Palestin yang berlarutan, harus diselesaikan secara aman dengan menghormati sepenuhnya undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Anwar dan Muizzu turut membangkitkan isu-isu antarabangsa yang kritikal, khususnya konflik berterusan yang menjejaskan umat Islam di seluruh dunia dan situasi kemanusiaan yang teruk di Myanmar akibat bencana gempa bumi dahsyat.

“Kedua-dua pemimpin turut mengetengahkan kepentingan penyelesaian yang adil dan berkekalan terhadap setiap cabaran, dalam membawa keamanan dan kestabilan di rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Muizzu yang tiba semalam untuk lawatan rasmi empat hari ke Malaysia, sebelum itu diraikan dengan majlis sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra.

Ini merupakan lawatan sulung Muizzu ke Malaysia sejak memegang jawatan presiden pada November 2023, dan lawatannya adalah atas jemputan Anwar.

Anwar dan Muizzu turut mengecam keganasan dalam semua bentuk serta manifestasinya, dan menegaskan komitmen mereka untuk menolak keganasan dan membawa semua pelaku ke muka pengadilan.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju untuk terus berkongsi maklumat dan amalan terbaik untuk menangani cabaran yang ditimbulkan oleh keganasan, serta ancaman tradisional dan bukan tradisional yang lain,” menurut kenyataan itu.

Kedua-dua pemimpin seterusnya berbincang mengenai kepentingan memupuk hubungan sesama rakyat dan persefahaman bersama, termasuk meningkatkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Maldives.

Kedua-dua pemimpin turut menegaskan komitmen bagi mewujudkan lebih banyak peluang dan persekitaran yang menyokong pelajar, terutamanya melalui kelonggaran rejim visa, untuk melanjutkan pengajian tinggi di negara masing-masing.

Kedua-dua pemimpin juga mengiktiraf kejayaan berterusan Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) dalam mengukuhkan hubungan dua hala.

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan