JENAYAH & MAHKAMAH

NEKAD BANTU POLIS CEKUP SUSPEK KES RAGUT DEMI NAMA BAIK PENGHANTAR MAKANAN

28/04/2025 08:05 PM

MELAKA, 28 April (Bernama) -- Enam penghantar makanan nekad membantu polis memberkas seorang suspek kes ragut di sini baru-baru ini demi menjaga nama baik pekerja p-hailing agar tidak dikaitkan dengan jenayah.

Ini setelah suspek kes itu membawa beg penghantaran makanan sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran ketika melakukan jenayah berkenaan bagi tujuan penyamaran.

Penghantar makanan Muhammad Haikal Mohd Yasin, 22, berkata perbuatan yang dilakukan penjenayah berkenaan boleh menyebabkan masyarakat memandang serong sedangkan mereka bekerja keras sama ada panas atau hujan untuk mencari sesuap nasi.

"Alhamdulillah kami berjaya membantu polis menangkap penjenayah itu walaupun terpaksa bergelut dengannya dan syukur tiada perkara buruk berlaku," katanya selepas menerima sijil penghargaan daripada polis negeri pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Melaka di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Muhammad Haikal berkata penghargaan yang diterima daripada Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar menjadi pembakar semangat untuk terus membantu pihak berkuasa membanteras aktiviti jenayah.

Sementara itu, seorang lagi penghantar makanan Abdul Aziz Ibrahim, 55, berkata sebelum insiden ragut pada 23 April lepas, dia dihubungi pihak polis berhubung dakwaan pembabitan seorang lelaki didakwa penghantar makanan dengan jenayah ragut.

"Saya dipanggil pegawai D9 (Siasatan Khas) Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka untuk membantu menangkap penjenayah terlibat dan saya kemudiannya mewujudkan kumpulan WhatsApp khas melibatkan penghantar makanan yang dipercayai sahaja.

"Jadi, pada hari kejadian, apabila mendapat maklumat berhubung kejadian ragut melibatkan lelaki dipercayai menyamar rider Food Panda dalam group WhatsApp berkenaan, kami bergerak dari lokasi masing-masing untuk menjejakinya," katanya yang telah berkhidmat sebagai penghantar makanan sejak lima tahun lepas.

Beliau berkata sebelum ini dia beberapa kali membantu pihak berkuasa menumpaskan jenayah di sekelilingnya namun penghargaan itu merupakan kali pertama diterimanya dan turut berterima kasih kepada pihak polis.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi lebih 40 saat memaparkan suspek berbaju hitam ditahan oleh beberapa individu yang juga pekerja penghantar makanan dan orang awam sebelum diserahkan kepada pihak polis yang hadir ke lokasi kejadian.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan