Revolusi teknologi mengubah landskap pasaran buruh dunia termasuk Malaysia dengan teknologi digital kini menjadi tulang belakang bagi kebanyakan industri utama termasuk pembuatan, perniagaan, kesihatan, kewangan dan pertanian.
Teknologi digital bukan sahaja memudahkan kerja tetapi turut menjadikan operasi sesebuah organisasi lebih cekap, baik dari segi produktiviti ataupun kos.
Antara cabang teknologi digital yang penting dan banyak digunakan dalam industri ialah kecerdasan buatan atau AI dan Internet pelbagai benda (IoT) yang membantu dalam sistem automasi dan robotik.
Pakar menjangkakan kebergantungan manusia pada teknologi digital akan terus berkembang pesat di masa-masa akan datang yang secara langsung menuntut sumber manusia berkemahiran dalam bidang itu.
Malangnya kata pakar, institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini masih belum dapat menampung keperluan itu dengan rata-rata siswazah yang dikeluarkan tidak memiliki nilai tambah tersebut, sekali gus memberikan mereka cabaran dalam mendapatkan pekerjaan.
ADAPTASI TEKNOLOGI
Mengulas isu itu, Timbalan Dekan (Penyelidkan, Pembangunan dan Penerbitan) Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Prof Madya Dr Md Asrul Nasid Masrom berkata dalam era digitalisasi ini, siswazah tidak boleh lagi sekadar bersandar pada pencapaian akademik sebagai penanda aras kejayaan masing-masing.
pic-2
Beliau berkata ini kerana mereka berdepan dengan persekitaran kerja yang lebih kompleks dan mencabar, dan sehubungan itu memerlukan persiapan menyeluruh termasuk mengadaptasi teknologi agar dapat bersaing dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
“Siswazah hari ini sebenarnya mempunyai potensi tinggi dalam mengadaptasi teknologi digital ini kerana kebanyakan mereka lahir dan membesar dalam era digital.
“Namun begitu, keupayaan ini dilihat banyak bergantung pada sejauh mana pendedahan mereka terhadap teknologi itu sepanjang pengajian, kesediaan infrastruktur pembelajaran serta inisiatif kendiri siswazah dalam meneroka teknologi baharu,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kewujudan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) yang banyak terkait dengan automasi, telah memperluaskan lagi penggunaan teknologi digital dalam kebanyakan industri ketika ini.
Sehubungan itu, kemahiran “bermain” dengan teknologi, terutamanya yang berkaitan dengan digital adalah penting, dan lepasan universiti yang tidak mempunyai kemahiran itu berkemungkinan terpinggir sekalipun berjaya memasuki industri.
“Walaupun mereka ini celik teknologi dan tahu menggunakannya, aspek kemahiran dan kecekapan teknikal (tentang teknologi) yang mendalam, masih perlu diperkukuh melalui projek-projek praktikal, latihan industri dan pendedahan awal kepada situasi sebenar (dalam mengendalikan teknologi itu).
“Selain itu, etika dan adab juga perlu diterapkan secara konsisten dan sistematik, agar siswazah dapat menggunakan teknologi berkenaan dengan rasa tanggungjawab, sekali gus memberi manfaat kepada semua pihak,’’ katanya.
PERANAN IPT
Mengulas lanjut, Md Asrul Nasid berkata IPT perlu berperanan secara proaktif dalam membentuk siswazah yang memenuhi kehendak pasaran.
Malah katanya kadar kesiapsiagaan IPT dalam memastikan mahasiswa mereka mampu menerima guna teknologi baharu selepas bergelar siswazah masih tidak seimbang dalam kalangan institusi itu sendiri serta kursus yang ditawarkan.
pic-3
“Ada IPT yang telah menstrukturkan semula kurikulum mereka dengan memasukkan elemen seperti AI, IoT dan automasi yang diguna pakai dalam industri ketika ini, namun masih terdapat jurang penawaran kursus di IPT dan permintaan industri.
‘’...dan ada program pula yang masih berorientasikan teori atau terlalu akademik dan tidak cukup sesuai untuk beradaptasi dengan teknologi… dalam konteks AI misalnya, masih banyak IPT yang belum menjadikan AI komponen wajib dalam program bukan IT. Oleh itu semakan berkala perlu dilakukan terhadap kurikulum berdasarkan data terkini pasaran kerja,’’ katanya.
Beliau turut menyarankan IPT agar menyediakan ekosistem pembelajaran digital yang lengkap termasuk makmal pintar dan pembelajaran digital, sebagai usaha mempersiap mahasiswa bagi menghadapi alam kerjaya yang mencabar.
Tambah Md Asrul Nasid, bagi memastikan siswazah lebih bersedia bagi memasuki pasaran kerja, perlu ada penyelarasan dan kerjasama yang lebih komprehensif antara IPT dan industri.
Langkah itu secara tidak langsung membolehkan kurikulum sedia ada ditambah baik, sesuai dengan kemahiran yang diperlukan oleh majikan pada masa ini.
“Ini termasuk juga mewujudkan penyelidikan bersama yang menekankan pada pengetahuan teknologi serta pembabitan pihak industri dalam kajian berkaitan supaya (hasil) dapat diangkat untuk dikomersialkan.
“Jalinan kerjasama antara universti dan industri perlu bagi memastikan program yang dibangunkan ‘tidak syok sendiri’ tanpa memenuhi keperluan pasaran kerja semasa,’’ katanya.
USAHA MENYELURUH
Sementara itu, Dr Anim Zalina Azizan, pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM, mengakui Malaysia kini berada pada fasa penting untuk menjamin daya saing di peringkat global membabitkan teknologi disruptif termasuk automasi dan industri digital.
pic-4
Beliau berkata perkara itu terbukti apabila kerajaan melancarkan pelbagai inisiatif seperti Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan 2021-2025 dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, yang bertujuan memperkukuh ekosistem digital dan mengarusperdanakan kemahiran digital dalam pelbagai sektor.
Tambahnya, Malaysia juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Pelan Tindakan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 untuk menggalakkan pembelajaran dalam talian bagi memastikan pendidikan tinggi kekal relevan secara global.
Selain itu, terdapat usaha memperkukuh kurikulum, latihan kepada pensyarah serta kolaborasi dengan industri bagi memastikan siswazah bersedia menghadapi cabaran digital dalam bidang tertentu seperti perakaunan, yang mana kajian menunjukkan universiti di Malaysia telah mula mengintegrasikan teknologi terkini seperti AI, 'blockchain', cloud computing, dan data analytics ke dalam program pengajian, namun masih terdapat ruang untuk penambahbaikan dari segi latihan dan pengajaran teknologi baharu.
“Pendidikan tinggi dan latihan kemahiran kini menjadi teras utama dalam menyediakan tenaga kerja masa depan… usaha memperkukuh kurikulum dengan penekanan pada literasi digital, AI, sains data serta pemikiran kritis dan penyelesaian masalah, adalah penting bagi memastikan graduan mampu bersaing dalam pasaran kerja yang semakin dipacu teknologi.
pic-5
“Penggunaan teknologi digital dan AI bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan kecekapan, malahan membuka peluang pekerjaan bernilai tinggi. Namun begitu, ia turut membawa cabaran seperti penggantian kerja rutin oleh automasi yang memerlukan strategi ‘reskilling’ dan ‘upskilling’ secara besar-besaran agar tenaga kerja kekal relevan dan tidak terpinggir,’’ katanya.
Mengulas lanjut, Dr Anim Zalina berkata pembangunan bakat digital di Malaysia masih belum setanding dengan negara seperti Singapura, terutama dari segi latihan kemahiran digital secara menyeluruh dan keupayaan menarik serta mengekalkan pakar digital namun begitu infrastruktur dan akses kepada teknologi digital di negara ini lebih baik berbanding beberapa negara ASEAN lain, namun belum menyamai tahap negara maju.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan perlu mewujudkan program pembangunan bakat digital di universiti serta memperkasa latihan vokasional bagi membina asas pengetahuan dan kemahiran yang kukuh berkaitan teknologi baharu itu dalam kalangan siswazah.
Katanya langkah itu perlu kerana Malaysia masih lagi mengalami kekurangan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang teknologi digital, khususnya jurutera AI, pakar automasi dan robotik serta profesional yang berpengalaman dalam mengendalikan teknologi digital canggih.
pic-6
Menurutnya, terdapat jurang kemahiran digital dengan permintaan bagi pakar AI, penganalisis data, dan profesional keselamatan siber terus meningkat namun bekalan tenaga kerja tempatan yang mahir masih tidak mencukupi, yang akhirnya menyebabkan syarikat terpaksa bergantung pada pakar kerja asing untuk mengisi kekosongan itu.
“Situasi ini berlaku apabila pendidikan dan latihan tidak sejajar, di mana kurikulum institusi pendidikan tinggi masih banyak tertumpu pada subjek konvensional tanpa penekanan cukup terhadap kemahiran AI, automasi dan teknologi digital. Latihan semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja juga masih di peringkat awal
“Kementerian Pengajian Tinggi dan IPT perlu mengambil pendekatan holistik dan bersepadu, termasuk mengemas kini kurikulum, membangunkan program latihan berterusan serta pembangunan ekosistem AI yang mantap. Langkah ini penting untuk memastikan graduan dan tenaga kerja negara sentiasa bersedia dan kompetitif dalam pasaran kerja sekali gus membantu Malaysia berada dalam liga industri global yang semakin mencabar,” tambahnya.
-- BERNAMA