AM

SURF'S UP OLEH TIKTOK GALAKKAN TANGGUNGJAWAB DALAM TALIAN

28/04/2025 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- TikTok, platform utama untuk video mudah alih, mengukuhkan komitmennya untuk memupuk literasi digital dan penciptaan kandungan yang bertanggungjawab dalam kalangan belia menerusi program Surf's Up ketiga yang berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) baru-baru ini.

Pengurus Outreach dan Perkongsian TikTok Waskito Jati berkata penyertaan 150 pelajar UIAM dalam sesi debat semasa program Surf’s Up: Deputies of Digital Literacy Summit bertujuan meningkatkan tanggungjawab digital dan membantu mengekalkan komuniti dalam talian yang selamat.

"Belia hari ini memainkan peranan penting dalam membentuk landskap digital. Menerusi Surf's Up, TikTok berhasrat memperkasakan golongan belia untuk mengawal pengalaman dalam talian mereka, berhati-hati terhadap kandungan yang dimuat naik dan kongsikan, serta membantu mewujudkan komuniti dalam talian yang menghargai nilai positif, keterangkuman dan keselamatan.

"Kami berasa terinspirasi melihat pelajar UIAM aktif mengambil bahagian dalam sesi pembelajaran dan perbincangan bermakna, serta kami berharap lebih ramai pelajar mengambil peranan sebagai deputies of digital literacy," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) Mediha Mahmood berkata inisiatif seperti Surf's Up membantu membentuk budaya kawal selia kendiri dan tanggungjawab digital.

"Keselamatan dalam talian bukan sekadar tentang peraturan, tetapi tentang perbualan, pemikiran kritis dan tindakan kolektif. Forum Kandungan berbangga dapat bekerjasama dengan TikTook dalam Surf's Up untuk mewujudkan ruang bagi orang muda untuk bertanya, berinteraksi dan belajar.

"Yang paling mengagumkan ialah melihat pelajar berdebat dan meneroka pelbagai sudut pandang. Ia mengasah pemikiran mereka, membuka minda dan mengingatkan kita semua bahawa keupayaan untuk melihat kedua-dua sisi adalah penting dalam mengemudikan landskap digital masa ini dengan keyakinan dan kesedaran," katanya.

Edisi terbaharu Surf's Up oleh TikTok menampilkan sesi debat mengenai tanggungjawab menjaga keselamatan komuniti dalam talian, di samping perbincangan panel berhubung tanggungjawab peribadi dalam dunia digital, berlangsung dengan kerjasama CMCF dan Pusat Debat dan Oratori Dunia UIAM (IWON). 

Dibimbing oleh ahli IWON dan pelajar Nisrina Nabihah, debat itu menyaksikan tiga pelajar bagi setiap kumpulan membentangkan hujah masing-masing, dengan pemenang dipilih melalui undian penonton.

Pelajar UIAM turut menyertai sesi panel bersama-sama Waskito, Mediha, pencipta TikTok dan bekas peguam Reina Lum, serta moderator Sheahnee Iman Lee, membincangkan amalan beretika dan selamat dalam talian.

Sesi panel berkenaan turut memperluas topik kepada perbincangan yang lebih mendalam mengenai tanggungjawab dalam mencipta dan menggunakan kandungan, peranan pengguna dan platform dalam membentuk landskap digital, serta kepentingan membuat pilihan beretika apabila berkongsi kandungan dalam talian.

Surf's Up oleh TikTok di UIAM merupakan edisi ketiga dalam siri berkenaan, selepas program sebelumnya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan University of Nottingham Malaysia pada awal tahun ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan