TAPAH, 26 April (Bernama) -- Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berjalan lancar tanpa insiden tidak diingini berlaku setakat ini, kata Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin.
Beliau berkata semua pihak terlibat telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang kempen hingga hari pengundian yang bermula 8 pagi tadi.
Menurut Nor Hisam, 10 laporan polis diterima sepanjang tempoh tersebut termasuk satu laporan polis berkaitan barung yang didirikan berhampiran sebuah pusat pengundian.
“Barung ini sekarang sudah tidak dibenarkan (ketika pengundian), bagaimanapun atas nasihat polis, (barung) telah diturunkan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Noor Hisam turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang memberikan kerjasama baik sepanjang PRK DUN Ayer Kuning berlangsung.
Terdahulu, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Noor Hisam meluangkan masa meninjau pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bidor dan Sekolah Menengah Agama Daerah Batang Padang, kira-kira 2 petang.
Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran dibuka serentak pada 8 pagi bagi membolehkan 31,281 pengundi berdaftar menjalankan tanggungjawab mereka hari ini.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.
PRK ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
-- BERNAMA