TAPAH, 22 April (Bernama) -- Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning tamat apabila dua pusat ditutup pada 5 petang, setelah dibuka 8 pagi tadi.
Pusat pengundian di Dewan Rekreasi Pegawai Kanan, Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor ditutup pada 5 petang, manakala pusat pengundian di Dewan Anggerik, Kompleks Perumahan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah ditutup lebih awal iaitu pada 12 tengah hari.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 92.8 peratus pengundi terdiri daripada anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab mereka setakat 3 petang.
Proses pengundian awal di tiga saluran itu melibatkan 500 anggota polis dan pasangan mereka.
PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 58, akibat serangan jantung pada 22 Feb lepas.
-- BERNAMA